Jumaat, 11 Februari 2022 | 1:02pm
Majlis memeterai perjanjian induk pemegang saham utama VIP Gloves Ltd dan Ammorium.
Majlis memeterai perjanjian induk pemegang saham utama VIP Gloves Ltd dan Ammorium.

VIP Gloves tingkat pengeluaran sarung tangan

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan nitril, VIP Gloves Ltd, memeterai perjanjian induk dengan pemegang saham utama Ammorium Resources Sdn Bhd (Ammorium), Julian Foo Kuan Lin bagi pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Ammorium.

VIP Gloves, syarikat senaraian awam di bursa saham Australia, dalam satu kenyataan berkata, pengambilalihan Ammorium akan membolehkan syarikat menyelia pembangunan 60 barisan kemudahan bersepadu yang sebelum ini membabitkan sarung tangan perubatan di atas tanah seluas 21.45 hektar di Tronoh, Perak.

"Setiap barisan itu dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 15 juta helai sarung tangan sebulan atau keseluruhannya berjumlah 900 juta helai sebulan serta lebih 10.8 bilion sarung tangan setahun," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan VIP Gloves, Jimmy Yang menyifatkan pengambilalihan Ammorium itu akan meningkatkan barisan kemudahan pengeluaran sarung tangan syarikat, sekali gus dapat melonjakkan jumlah kapasiti pengeluaran kepada 13.46 bilion keping setahun apabila semua kemudahan itu beroperasi sepenuhnya.

"Kami juga dalam proses pembinaan kilang kedua di Semenyih, Selangor, yang dilengkapkan dengan lapan barisan pengeluaran dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.6 bilion helai sarung tangan yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023," katanya.

Pada masa ini, VIP Gloves mempunyai enam barisan kemudahan pengeluaran sarung tangan yang beroperasi manakala dua lagi kemudahan akan beroperasi dalam tempoh dua bulan akan datang.

"Penambahan lapan barisan kemudahan kilang baharu di Semenyih dan 60 barisan kilang di Tronoh dijangka menyumbang kepada hasil VIP Gloves bermula dari tahun kewangan akhir 2023," katanya.

Bagi prospek masa hadapan, beliau yakin permintaan terhadap produk berkenaan terus kukuh berikutan masih ramai yang kekal berwaspada susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Omicron.

"Ini dapat mengekalkan kelangsungan permintaan terhadap peralatan perlindungan diri seperti sarung tangan perubatan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

"Pengeluar sarung tangan turut menerima tempahan daripada pengguna baharu seperti syarikat penerbangan, restoran, rangkaian pakaian runcit serta pengusaha hotel yang mahu memastikan pekerja masing-masing terus mendapat perlindungan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X