Khamis, 10 Februari 2022 | 2:08pm
AirAsia Aviation Ltd (AAAL)
AirAsia Aviation Ltd (AAAL)

AirAsia bakal umum perubahan penting organisasi

KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Ltd (AAAL), syarikat pegangan bagi kumpulan penerbangan AirAsia akan mengumumkan beberapa perubahan penting organisasi ketika transformasi pantas syarikat itu berterusan.

Entiti kumpulan penerbangan itu juga akan mengumumkan penubuhan lembaga pengarah bebas, termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif, bagi menyediakan tadbir urus yang mantap untuk pertumbuhan strategik perniagaannya.

Pengumuman itu dijadual akan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes esok, demikian menurut syarikat penerbangan itu dalam satu jemputan kepada media.

Sementara itu, saham AirAsia Group Bhd mula ditukar kepada Capital A berkuat kuasa hari ini.

Bursa Malaysia Securities Bhd dalam maklumannya baru-baru ini berkata,

sekuriti syarikat itu akan diniaga dan disebut di bawah nama singkatan saham baharu 'CAPITALA'.

Sekuriti hutang Islam boleh tebus boleh tukar tidak bercagar (RCUIDS) akan disebut sebagai 'CAPITALA-LA' dan waran yang akan tamat pada 2028 sebagai 'CAPITALA-WA'.

Awal Januari lalu, syarikat penerbangan tambang rendah itu menjelaskan bahawa perubahan nama berkenaan disasarkan untuk memberikan identiti korporat baharu yang menawarkan gambaran lebih baik terhadap perniagaan teras dan perancangan masa hadapannya.

Perubahan itu juga, katanya adalah sejajar dengan transformasi pantas syarikat itu daripada sebuah syarikat penerbangan menjadi entiti pengembaraan dan gaya hidup digital.

Semua perniagaan portfolio Capital A dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawatnya iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan logistik menerusi Teleport.

Ia mempunyai lebih 50 juta pelawat unik bulanan di airasia Super App yang diiktiraf sebagai syarikat unikorn teknologi dalam masa kurang daripada dua tahun.

Walaupun Capital A akan menjadi nama kumpulan baharu, satu perkara yang tidak berubah ialah nama jenama AirAsia untuk syarikat penerbangan memandangkan ia adalah salah satu jenama kukuh di Asia dan menyediakan platform yang kukuh untuk semua produk dan perkhidmatan yang saling bergantung antara satu sama lain.

Berita Harian X