Selasa, 8 Februari 2022 | 8:08pm

Keuntungan bersih F&N merosot

KUALA LUMPUR: Untung bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2021 turun kepada RM92.95 juta daripada RM136.8 juta pada suku pertama 2021.

F&N dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata ia mencatatkan pendapatan sederhana susulan tekanan harga komoditi, impak daripada banjir dan kerugian terjemahan pertukaran asing akibat kelemahan nilai baht Thailand

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM1.1 bilion daripada RM1.08 bilion sebelumnya.

F&N berkata bagi bahagian makanan dan minuman Malaysia (F&B Malaysia), hasil meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada RM575.6 juta daripada RM568.2 juta pada suku pertama 2021, dengan perolehan daripada bahagian makanan mengimbangi impak daripada banjir dan gangguan perkapalan terhadap perniagaan domestik dan juga eksport.

Syarikat itu berkata, eksport dari Malaysia terus meningkat dalam minggu-minggu sebelum kejadian banjir yang melanda Pelabuhan Klang yang menyebabkan penangguhan beberapa penghantaran ke suku tahun seterusnya.

Sementara itu bagi F&B Thailand, hasil pada suku pertama 2022 berkembang 10.3 peratus (dalam nilai baht) daripada jualan domestik dan eksport yang tinggi.

Pada masa hadapan, F&N menjangka persekitaran terus mencabar berikutan harga bahan mentah utama dan bahan pembungkusan yang tinggi serta ketidakpastian berhubung varian Omicron COVID-19.

"Sebagai jalan terakhir, kami mungkin menyelaras harga produk perlahan-lahan bagi mengurangkan tekanan margin disebabkan oleh peningkatan harga komoditi dan bahan input lain," kata syarikat itu.

-BERNAMA

Berita Harian X