Selasa, 8 Februari 2022 | 2:20pm
Hartalega Holdings Bhd
Hartalega Holdings Bhd

Untung bersih Hartalega susut mendadak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 merosot mendadak kepada RM259.06 juta berbanding RM1.002 bilion yang diraih bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Hartalega berkata, pendapatan bagi tempoh dikaji susut ketara kepada RM1.01 bilion daripada RM2.13 bilion setahun lalu.

"Pendapatan lebih rendah ini disebabkan terutama oleh penurunan harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan susulan permintaan jualan lebih rendah, selain peningkatan bekalan daripada pembuat sarung tangan utama serta baharu," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih Hartalega bagaimanapun melonjak kepada RM3.43 bilion daripada RM1.78 bilion yang diraih tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bagi tempoh tiga suku tahun juga melonjak kepada RM6.92 bilion daripada RM4.4 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

"Pendapatan lebih tinggi disumbangkan khususnya oleh ASP yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun kewangan semasa selepas ia mengimbangi peningkatan kos bahan mentah dan kesan ke atas pengurangan jumlah jualan sebanyak 21 peratus," katanya.

Hartalega berkata, ASP sarung tangan menurun dengan pantas daripada kemuncaknya pada separuh pertama menuju ke separuh kedua tahun kewangan semasa.

"Penurunan ASP dalam beberapa bulan kebelakangan ini adalah disebabkan oleh peningkatan bekalan daripada pembuat sarung tangan utama dan baharu serta permintaan yang menyederhana apabila pelanggan terus menyesuaikan inventori disebabkan penurunan harga jualan," katanya.

Pengeluar sarung tangan itu berkata, selaras dengan permintaan sarung tangan getah yang semakin meningkat di peringkat global, kumpulan akan terus mengembangkan kapasiti di Hartalega NGC, Sepang.

"Sehingga kini lapan daripada sembilan barisan pengeluaran di Plant 7 sudah beroperasi. Selepas semua beroperasi, Plant 7 akan memiliki kapasiti tahunan sebanyak 2.6 bilion keping sarung tangan," katanya.

Kumpulan itu berkata, pembinaan pembesaran kilang pengeluaran di bawah NGC 1.5 sedang dilaksanakan dan Hartalega menjangkakan barisan pengeluaran pertama beroperasi menjelang Oktober tahun ini.

"NGC 1.5 akan memiliki empat kilang pengeluaran tambahan yang mana akan menyumbang kepada pengeluaran 19 bilion keping sarung tangan setahun.

"Dengan siapnya NGC 1.5, kapasiti pengeluaran kumpulan akan melonjak kepada 63 bilion setahun," katanya.

Menuju ke hadapan, Hartalega berkata, ia akan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan kecekapan dan automasi merentasi operasinya.

"Kami kekal optimis dengan prospek jangka panjang disokong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk sarung tangan dan rancangan pengembangan operasi yang berterusan," katanya.

Berita Harian X