Isnin, 7 Februari 2022 | 1:35pm
AirAsia Aviation Ltd - Foto Bloomberg
AirAsia Aviation Ltd - Foto Bloomberg

AirAsia dapat penilaian keselamatan markah penuh

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Ltd sekali lagi diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi tertinggi dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com.

Penilaian serupa juga dianugerahkan kepada kumpulan syarikat penerbangan berkenaan semasa kemuncak pandemik pada 2020.

AirAsia Malaysia, Thailand, dan Filipina menerima pengiktirafan terbabit berikutan rancangan mitigasi COVID-19 yang kukuh dan komprehensif melalui pengumuman yang dibuat oleh airlineratings.com, Sabtu lalu.

AirAsia turut dinamakan sebagai salah satu daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat bagi 2022 oleh pakar penerbangan yang sama di airlineratings.com.

Kumpulan syarikat penerbangan itu juga antara yang pertama mencapai penarafan keselamatan COVID-19 tertinggi daripada airlineratings.com pada 2020 dengan pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dalam dunia baharu perjalanan udara.

AirAsia Aviation Limited adalah anak syarikat Capital A Bhd (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Bhd).

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Ltd, Bo Lingam, berkata keselamatan adalah faktor utama untuk perjalanan udara dan ia amat penting kerana orang ramai sudah mula hidup dengan virus terbabit.

"Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berbangga untuk memastikan syarikat penerbangan dalam kumpulan ini mencapai akreditasi oleh Audit Keselamatan Operasi (IOSA) yang menjadi penanda aras global untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa. Semua pesawat kami diselenggara mengikut piawaian kejuruteraan paling ketat seperti yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar pesawat.

"AirAsia juga hanya akan menerima tetamu yang sudah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya.

"Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. Selain itu, semua juruterbang dan kru kabin kami juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik," katanya dalam satu kenyataan.

Bo berkata, sebagai peneraju inovasi untuk menjadikan perjalanan lebih lancar, AirAsia meningkatkan perkhidmatan dengan teknologi dan prosedur baharu supaya pengalaman penerbangan tetamu lebih mudah dan selesa.

"Ini termasuk melancarkan sistem pengecaman wajah biometrik iaitu FACES untuk menyediakan prosedur tanpa sentuhan sepenuhnya kepada tetamu," katanya.

Berita Harian X