Ahad, 6 Februari 2022 | 11:32am

Capital A ambil semula bekas pekerja melalui Airasia Grocer

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mengambil semula pekerjanya yang terpaksa diberhentikan pada 2020 melalui anak syarikatnya Airasia Grocer, sebuah platform beli-belah runcit dalam talian yang memadankan petani tempatan dan peniaga runcit dengan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Airasia Arocer, Joanna Ibrahim berkata, syarikat itu adalah cabang penghantaran barangan runcit bagi aplikasi airasia super app (sebelum ini dikenali sebagai airasia farm).

Airasia Farm ditubuhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jun 2020, didukung oleh Airasia Digital serta disokong Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau berkata matlamatnya adalah menangani isu pembaziran hasil segar yang disebabkan oleh gangguan logistik.

"Dua pertiga daripada kakitangan Airasia Grocer adalah daripada syarikat penerbangan dan yang sebelum ini memegang pelbagai jawatan berkaitan dengan ruang penerbangan.

"Kami mengutamakan pengambilan pekerja daripada kalangan bekas pekerja untuk menyertai pasukan kami kerana kami percaya segala-galanya boleh dilakukan dengan bekas anak-anak kapal AirAsia yang mempunyai pelbagai bakat dan budaya yang unik selain berani menyahut cabaran baharu," katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Joanna berkata perolehan syarikat meningkat 18 kali ganda tahun ke tahun walaupun terdapat halangan awal untuk mendapatkan kepercayaan petani.

Segmen perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) berkembang pesat dalam tempoh enam bulan, katanya.

Beliau berkata syarikat meraih manfaat daripada momentum itu apabila mengembangkan operasinya dengan merangkumkan jualan perniagaan-kepada-pengguna (B2C).

"Dalam tempoh setahun, airasia grocer telah menghantar makanan laut hidup ke China," katanya.

Beliau berkata justeru, tawaran awam awal syarikat ini dijangka berada dalam pelan hala tuju perniagaan lima tahunnya.

Dalam satu acara untuk memperkenalkan identiti korporat baharu kumpulan itu pada 28 Jan, 2022, CEO Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata airasia grocer sedang meneroka teknologi blockchain dalam operasinya.

Syarikat itu berusaha untuk mengambil produk terus dari ladang supaya petani memperoleh margin keuntungan lebih tinggi memandangkan pengguna akan memperoleh hasil tani yang lebih segar, katanya.

Bekas juruterbang AirAsia, David John, 29, yang mempunyai pengalaman penerbangan selama lima tahun berkata untuk mendapatkan pekerjaan selepas diberhentikan adalah sesuatu yang mencabar, namun syarikat penerbangan itu tidak berhenti memberikan peluang pekerjaan alternatif dalam kumpulan tersebut kepada mereka.

"Sekarang saya diambil bekerja sebagai Pengurus Pembangunan perniagaan di airasia grocer, yang merupakan bidang yang jauh berbeza daripada yang pernah saya lakukan sebelum ini.

"Walaupun menghadapi cabaran, saya didorong oleh orang yang baru saya temui setiap hari kerana mereka mengingatkan saya mengenai jalinan yang saya bina apabila bertemu penumpang dalam penerbangan sebelum ini," katanya.

Bekas anak kapal kanan, Hazree Zakaria, 40, memberitahu bahawa beliau bertuah dan bersyukur kerana dapat bersama-sama semula dengan syarikat yang pernah disertainya sejak 2008.

"Saya percaya apa yang Tony (Fernandes) katakan bahawa beliau akan mengambil semula kakitangan yang diberhentikan dan saya juga menghargai inisiatif yang dilaksanakan Capital A untuk memberikan kami peluang bekerja dalam bidang baharu," kata penolong pengurus selepas jualan di Airasia Grocer.

Sementara itu, Ketua Pembarangan dan Harga Airasia Grocer, Trevor Wong, 31, yang adalah bekas Jurutera Kanan Operasi Penerbangan, berkata beliau kini menguruskan maklumat bekalan daripada petani dan memadankannya dengan kos dan permintaan logistik daripada pelanggan.

"Saya masih belajar dan mengumpul data yang mencukupi untuk membuat penambahbaikan serta menyumbang kepada industri makanan secara amnya.

"Kami melakukan yang tepat dengan mengambil semula pekerja kami yang diberhentikan, terutama kru daratan, mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan dalam semua industri lain dalam kumpulan Capital A," katanya.

– Bernama

Berita Harian X