Jumaat, 4 Februari 2022 | 2:32pm
Toyo Ventures Holdings Bhd
Toyo Ventures Holdings Bhd

Toyo Ventures elak saham digantung Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Dagangan saham Toyo Ventures Holdings Bhd tidak akan digantung pada 10 Februari ini, apabila syarikat berjaya menghantar laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021 kepada Bursa Malaysia pada Isnin lalu.

"Lembaga pengarah mengumumkan bahawa syarika sudah menghantar laporan tahunan 2021 kepada Bursa Securities pada 31 Januari 2022, iaitu mengikut tempoh masa yang diperlukan di bawah Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, justeru tiada penggantungan urus niaga pada 10 Februari 2022," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Rabu lalu, Toyo Ventures berkata ia gagal memenuhi tarikh tutup 31 Januari dan memerlukan tambahan tempoh untuk menyelesaikan beberapa isu yang tertunggak.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak memberikan butiran mengenai isu-isu tertunggak yang perlu diselesaikan.

Minggu ini, ia menarik semula cadangan dividen satu sen sesaham disebabkan oleh 'perolehan yang tidak mencukupi'.

Dividen terbabit, yang dicadangkan pada 30 November 2021 tidak akan dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat akan datang.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat itu mengumumkan bahawa juruaudit luarnya, KC Chia & Noor, menerbitkan pandangan bertauliah terhadap penyata kewangan diaudit kumpulan bagi tahun kewangan 2021.

Juruaudit itu tidak dapat memperoleh bukti audit wajar mencukupi untuk menentukan kelangsungan dan kejayaan hasil perbelanjaan yang disumbangkan kepada projek pembangunan loji tenaga dilaksanakan oleh anak syarikat Toyo Ventures iaitu Toyo Ink Group Bhd semasa fasa pembangunan.

Toyo Ventures, yang mengubah tahun kewangan berakhir daripada 30 Jun kepada 30 September, mencatatkan kerugian bersih RM12.92 juta bagi tempoh 15 bulan berakhir 30 September 2021.

Ia meraih pendapatan RM99.88 juta sepanjang tempoh sama.

Berita Harian X