Khamis, 3 Februari 2022 | 6:33pm
Sunny Ho Khin Choy.
Sunny Ho Khin Choy.

Straits lantik dua pakar digital kukuh kehadiran pasaran 5G, IOT

KUALA LUMPUR: Straits Energy Resources Bhd (Straits Energy) melantik Sunny Ho Khin Choy dan John Ho Soon Choy masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Straits CommNet Solutions Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Straits Energy, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy, berkata perlantikan itu akan  mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan melalui anak syarikatnya Straits CommNet dalam ekosistem 5G di Malaysia.

Beliau berkata, pelantikan itu akan segera meletakkan kumpulan pada landasan pantas untuk bertapak kukuh dan mantap dalam pasaran 5G dan IoT.

 

"Melalui penyertaan aktif kami dalam industri minyak dan gas, kami mendapati terdapat banyak bidang peluang yang kurang dimanfaatkan dari segi pendigitalan dan IoT.

"Dengan banyak proses dan fungsi kekal dilaksanakan secara tradisional atau didigitalkan secara minimum, Straits Energy mahu menjadi pencetus perubahan dengan menggabungkan teknologi didayakan 4G dan 5G seperti IoT ke dalam proses harian dalam industri.

"Matlamat utama adalah untuk meningkatkan produktiviti dan menjadikan proses lebih cekap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khin Choy mempunyai pengalaman dalam syarikat berkaitan teknologi seperti Digital Nasional Bhd, Axiata's Edotco, Nokia Malaysia dan Ascom.

Beliau akan menerajui usaha Straits Energy ke dalam ruang digital dipacu 5G dan Iot industri minyak dan gas serantau.

Straits CommNet akan terus meneroka peluang perniagaan infrastruktur dan komunikasi rangkaian tanpa wayar yang luas dalam pelancaran 4G dan 5G di Malaysia dan serantau, memperluaskan lagi pendedahan perniagaan dan aliran pendapatan kumpulan.

Pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Straits CommNet berkuat kuasa 3 Februari 2022 diumumkan kurang daripada tiga bulan selepas Straits bergabung dengan Baicells Technologies Co. Ltd yang berpangkalan di Texas, yang menyediakan 4G Evolusi Jangka Panjang (LTE) dan 5G yang inovatif Penyelesaian capaian Radio Baharu (NR) dalam inisiatif kerjasama pertamanya.

Sementara itu, Soon Choy pula mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dalam industri teknologi maklumat.

Berita Harian X