Ahad, 30 Januari 2022 | 2:16pm
SMTrack Bhd menafikan pembabitan dalam projek RFID di plaza tol - Foto fail NSTP
SMTrack Bhd menafikan pembabitan dalam projek RFID di plaza tol - Foto fail NSTP

SMTRack tak terbabit projek RFID di plaza tol

KUALA LUMPUR: SMTrack Bhd menafikan pembabitan dalam projek Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol, sekali gus mengecam tuduhan tidak berasas terhadapnya berhubung perkara itu.

Pakar penyelesaian RFID itu berkata, ia kebiasaannya tidak memberikan maklum balas terhadap berita sensasi dari Internet, namun tuduhan semasa memberikan reputasi yang teruk terhadap integriti SMTrack dan menjejaskan keyakinan pelabur.

Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack, Azmi Osman, berkata sehingga kini, syarikat itu tidak terbabit dalam projek RFID di plaza tol.

Katanya, sebagai syarikat pakar dalam penyelesaian RFID, sudah tentu ia percaya pada nilai tambah yang akan dibawa oleh teknologi itu kepada komuniti.

Malah, beliau berkata SMTrack yakin bahawa pengenalan RFID di plaza tol akan meningkatkan kecekapan dan trafik memandangkan ujian yang betul dijalankan dan ia sudah digunakan selama lebih dua tahun.

"Perjalanan akan menjadi lancar dan ini adalah sesuatu yang kami percaya syarikat boleh membantu menyumbang kepada projek itu, dengan matlamat utama untuk menyumbang kepada kemudahan orang ramai. Bagaimanapun, pada ketika ini, kami tidak terbabit dalam projek itu," tegasnya.

Sementara itu, Azmi juga menyangkal dakwaan bahawa pelantikan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat adalah berkaitan dengan hubungan politiknya.

Beliau berkata, pelantikan Saiful Nizam sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tiada kaitan dengan hubungan politiknya dan ia dilakukan berdasarkan merit dan pengalaman beliau semata-mata.

"Kumpulan tidak akan mendiskriminasi mana-mana individu berdasarkan latar belakang mereka dan akan mengambil langkah tambahan untuk mendedahkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan jika ada.

"Sebagai Pengarah Bebas, Saiful Nizam tidak terbabit dalam keputusan dan operasi perniagaan seharian," katanya.

Sementara itu, SMTrack menegaskan kumpulan itu juga tidak membabitkan Tan Sri Lee Kim Yew dalam sebarang lobi untuk mana-mana projek bagi syarikat walaupun beliau muncul sebagai pemegang saham yang besar.

Azmi berkata, SMTrack ialah entiti senaraian awam dan mana-mana pelabur yang mempunyai keyakinan dengan syarikat boleh melabur dalam syarikat melalui pasaran terbuka.

"Kami berbangga bahawa Kim Yew melihat potensi dalam kumpulan dan telah mengambil keputusan berdasarkan kapasiti pelaburannya sendiri.

"Bagaimanapun, kami ingin mengulangi bahawa beliau bukan sebahagian daripada pasukan strategik dan operasi kumpulan dan tidak terbabit dalam sebarang lobi projek untuk kumpulan," kata Azmi.

Dalam kenyataan itu juga, SMTrack menegaskan propaganda politik yang disebarkan terhadap syarikat itu adalah tidak bertanggungjawab.

Ia berkata, tuduhan dan pembohongan tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengelirukan orang ramai, memusnahkan reputasi entiti tersenarai dan integriti pasaran modal Malaysia dan mengelirukan orang ramai mengenai faedah teknologi RFID.

Azmi berkata, tuduhan tidak berasas itu akan memberi kesan negatif terhadap integriti syarikat serta pasaran modal Malaysia, yang penting untuk memacu pertumbuhan dalam negara.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan dan penguatkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap pembohongan berkenaan.

"Kumpulan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan tidak berasas ini untuk melindungi integriti syarikat kami.

"Jika tuduhan tidak berasas ini membawa kepada pemergian pelabur terkemuka dan pemimpin berwibawa seperti Kim Yew dan Saiful Nizam, akan ada kesan merosakkan kepada reputasi kumpulan, prestasi kewangan dan juga harga saham kami. Oleh itu, saya merayu agar Kim Yew dan Saiful Nizam kekal bersama kumpulan," kata Azmi.

Berita Harian X