Jumaat, 28 Januari 2022 | 3:22pm
Pengarah Urusan Kumpulan Siab, Ng Wai Hoe (tengah) bersama barisan pengurusan kanan pada majlis pelancaran prospektus syarikat, hari ini - Foto ihsan Siab
Pengarah Urusan Kumpulan Siab, Ng Wai Hoe (tengah) bersama barisan pengurusan kanan pada majlis pelancaran prospektus syarikat, hari ini - Foto ihsan Siab

Siab sasar IPO jana modal RM36.72 juta

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pembinaan, Siab Holdings Bhd (Siab) yang dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Februari depan, menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM36.72 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Pengarah Urusan Kumpulan Siab, Ng Wai Hoe, berkata 89 peratus daripada hasil kutipan itu diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan syarikat termasuk pembelian tanah untuk pembinaan kemudahan penyimpanan, melaksanakan sistem model maklumat bangunan (BIM), mesin baharu serta modal kerja.

Bercakap pada majlis pelancaran prospektus hari ini, beliau turut menjangkakan langkah IPO itu akan membuka jalan bagi membolehkan syarikat itu dapat meraih pertumbuhan yang lebih kukuh.

Beliau berkata, berdasarkan nilai tender syarikat yang mencecah RM1 bilion pada masa ini, Siab mengalami impak minimum daripada impak pandemik COVID-19 dengan mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 13 peratus bagi tahun kewangan 2020.

Pada masa ini, ia mempunyai lapan projek pembinaan yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2022 hingga 2024, manakala jumlah nilai kontrak belum dijelaskan adalah RM544.98 juta.

Menurut Wai Hoe, Siab juga kekal optimis terhadap prospek masa depannya susulan unjuran industri pembinaan yang positif.

"Prospek industri pembinaan Malaysia yang turut meliputi kerja-kerja kejuruteraan awam dan pembinaan hartanah adalah kekal rancak sebagaimana dinyatakan oleh firma penyelidikan pasaran bebas Protégé Associates Sdn Bhd.

"Industri itu dijangkakan menyaksikan aliran peningkatan dengan unjuran pertumbuhan tahunan antara 6.0 dan 9.5 peratus pada 2022 hingga 2025, disokong oleh projek mega yang dijalankan pada masa ini dan akan datang," katanya.

Menurut Wai Hoe, industri pembinaan tempatan juga diunjurkan mencapai hasil sebanyak RM76 bilion menjelang 2025.

Dalam pada itu, apabila disenaraikan di Pasaran ACE, Siab akan mempunyai modal pasaran berjumlah RM146.89 juta berdasarkan harga terbitan 30 sen sesaham manakala jumlah terbitan saham yang dipertingkatkan adalah 489.63 juta.

IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 122.409 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 48.963 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian.

Daripada 122.409 juta saham baharu, sejumlah 24.481 juta saham diperuntukkan bagi rakyat Malaysia secara undian, 12.240 juta saham untuk pengarah, pekerja dan individu layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, 61.204 juta saham bagi pelabur Bumiputera terpilih diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)m manakala baki 24.481 juta saham ditawarkan melalui penempatan persendirian untuk pelabur terpilih.

-BERNAMA

Berita Harian X