Jumaat, 28 Januari 2022 | 2:07pm
Gambar fail. - Reuters
Gambar fail. - Reuters

AirAsia Group tukar nama kepada Capital A

 

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd menukar nama kumpulan kepada Capital A Bhd (Capital A) sebagai langkah memperluaskan lagi skop perniagaan terasnya kepada lebih daripada sekadar syarikat penerbangan.

Penukaran itu, katanya, mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi kumpulan sebagai  syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata strategi di sebalik pertukaran nama itu adalah untuk memperkenalkan identiti korporat baharu yang mencerminkan perniagaan teras  dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat daripada syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan digital dan gaya hidup sehenti.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa nama syarikat baharu itu juga akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk dan meningkatkan kejayaan kumpulan untuk jangka masa panjang.

"Pada asasnya Capital A adalah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan yang luas yang memberikan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data kukuh yang dibina selama dua dekad.

"Kami juga adalah salah satu jenama terkemuka di Asia, selain mempunyai budaya yang mengutamakan pelanggan dan kakitangan serta terus komited untuk berkhidmat kepada semua golongan," katanya pada majlis pengumuman penukaran nama itu di sini, hari ini.

Tony berkata, sama seperti syarikat penerbangan kumpulan yang menawarkan nilai dan perkhidmatan terbaik dari hari pertama ia ditubuhkan, semua bidang perniagaan yang berbeza di bawah kumpulan akan beroperasi dengan strategi yang sama iaitu menjadikan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup mampu milik, mudah diakses dan inklusif untuk semua.

Beliau berkata, pihaknya kini menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah satu kumpulan dan tiada jenama lain di ASEAN sepertinya.

Katanya, dengan akses kepada lebih 700 juta orang di rantau ini, beliau percaya terdapat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk jenamanya merentasi pelbagai industri berbeza dalam semua pasaran terasnya.

Jelasnya, syarikat mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.

"Daripada makanan kepada barangan runcit dan e-dagang, kepada perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, e-panggilan dan banyak lagi.

"Kami juga adalah salah satu daripada tiga ejen pelancongan dalam talian (OTA) teratas di ASEAN dan aplikasi kami berada di landasan yang tepat untuk menjadi aplikasi gaya hidup terkemuka di rantau ini tidak lama lagi," katanya.

Tony berkata, semua perniagaan portfolio kumpulan dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawatnya iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan logistik menerusi Teleport.

Beliau berkata, syarikatnya mempunyai lebih 50 juta pelawat unik bulanan di airasia Super App yang telah diiktiraf sebagai syarikat unikorn teknologi dalam masa kurang daripada dua tahun.

"Perniagaan  teknologi kewangan kami iaitu BigPay pula diberi dana sebanyak AS$100 juta daripada konglomerat Korea Selatan, SK Group dan secara keseluruhannya, kami mengumpul lebih RM2.5 bilion setakat ini melalui strategi pengumpulan dana.

"Berikutan sokongan pengguna dan pelabur yang kukuh untuk strategi transformasi, kami kini meletakkan sasaran pada inisiatif penjanaan modal selanjutnya untuk airasia Super App, Teleport dan ADE yang akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai syarikat penerbangan, Tony berkata, walaupun Capital A akan menjadi nama kumpulan baharu, satu perkara yang tidak berubah ialah nama jenama AirAsia untuk syarikat penerbangan memandangkan ia adalah salah satu jenama kukuh di Asia dan menyediakan platform yang kukuh untuk semua produk dan perkhidmatan kami yang saling bergantung antara satu sama lain. 

"Walaupun dua tahun kebelakangan ini adalah tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, saya yakin pemulihan akan bermula pada tahun ini.

"Perjalanan udara domestik sudah mula pulih dalam pasaran utama kami. Walaupun mungkin terdapat beberapa kelewatan untuk penerbangan antarabangsa kembali ke tahap pra-COVID disebabkan oleh varian Omicron, saya percaya ini adalah cabaran jangka pendek.

"Saya berharap sempadan akan dibuka semula secara beransur-ansur sepanjang 2022 dan kita akan melihat kapasiti kembali seperti biasa untuk perkhidmatan antarabangsa pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini," katanya.

Mengenai impak harga minyak yang tinggi kepada perniagaan penerbangannya, Tony berkata, keadaan itu boleh diimbangi dengan caj tiket yang tinggi memandangkan permintaan tinggi untuk pengembaraan berikutan pembukaan semula sempadan negara dan aktiviti ekonomi.

 

Berita Harian X