Khamis, 27 Januari 2022 | 7:00pm
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong (tengah) diiringi Naib Presiden Pemasaran Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias (kiri) dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Bhd, Azrul Osman Rani (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya ketika melancarkan kempen PETRONAS Coffee Break di Stesen Petronas Solaris Putra - NSTP/Saifullizan Tamadi
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong (tengah) diiringi Naib Presiden Pemasaran Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias (kiri) dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Bhd, Azrul Osman Rani (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya ketika melancarkan kempen PETRONAS Coffee Break di Stesen Petronas Solaris Putra - NSTP/Saifullizan Tamadi

PETRONAS rai ulang tahun ke-25 kempen Coffee Break

SERDANG: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) meraikan ulang tahun ke-25 dengan menawarkan kopi, snek, pemeriksaan kesihatan dan kenderaan serta baucar diskaun secara percuma kepada pemandu sempena perayaan Tahun Baharu Cina menerusi Kempen Coffee Break PETRONAS. 

Pemandu boleh berhenti di mana-mana 150 stesen PETRONAS di seluruh negara yang mengambil bahagian dalam kempen itu dari 29 hingga 30 Januari dan dari 5 hingga 6 Februari untuk menikmati pelbagai tawaran menarik.

Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias, berkata selama 25 tahun, jenama itu menjadi rakan perjalanan yang dipercayai untuk pelanggannya menerusi hidangan kopi dan makanan ringan percuma.

"Kami amat berterima kasih atas sokongan rakan kempen yang sudah lama menjayakan kempen ini sejak 1998. Dengan sumbangan mereka, kami dapat terus menyebarkan mesej keselamatan kepada khalayak yang lebih luas sambil meraikan musim perayaan dengan tawaran yang bermakna.

"Ini semua adalah sebahagian daripada usaha menjadikan kehidupan pelanggan kami lebih mudah dan bermanfaat," katanya berucap pada majlis pelancaran Kempen Coffee Break PETRONAS, di sini, hari ini.

Kempen dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.

Kempen Coffee Break PETRONAS menawarkan pelbagai minuman, snek dan promosi dari rakan kempen.

Sepanjang kempen itu, Bahagian Keselamatan Jalan Raya juga menjalankan program advokasi di lebih 50 stesen untuk berkongsi tip keselamatan jalan raya.

Selain itu, St John Ambulance Malaysia akan menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan tekanan darah dan glukosa di stesen terpilih.   

Bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik sebelum perjalanan panjang, PDB juga bekerjasama dengan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd untuk menjalankan pemeriksaan motosikal secara percuma.

PETRONAS AutoExpert turut menawarkan pemeriksaan 18-poin secara percuma di 11 bengkel yang terletak di sekitar Lembah Klang dan tiga lagi di Negeri Sembilan untuk pelanggan yang membuat penukaran minyak enjin. 

Nestlé Products Sdn Bhd terus menjadi rakan kongsi utama kempen dengan menyumbang Nescafé Dairy Free Oat dan Nescafé Latte Milk Tea.

Tawaran lain untuk kempen itu termasuk sumbangan Revive Salted Lemon oleh Etika Sdn Bhd dan gula-gula Dequadin oleh iNova Pharmaceuticals. 

Selain itu, baucar diskaun bernilai RM50 juga akan diberikan sepanjang tempoh kempen dengan Shopee Malaysia mengedarkan RM18 Ang Pow untuk pengguna baharu serta pulangan tunai 10 peratus syiling untuk perbelanjaan minimum RM65, dihadkan pada 8,000 syiling untuk pengguna sedia ada.

Grab juga akan memberikan diskaun 2 X RM10 untuk perkhidmatan GrabMart dengan perbelanjaan minimum RM30 untuk memudahkan membeli-belah pada musim perayaan.

Ahmad Adly berkata, PDB juga akan menawarkan RM18 Ang Pow yang terdiri daripada diskaun untuk Setel dan barangan berjenamanya, PRYSM. 

"Sempena ulang tahun ke-25 Kempen ini, PRYSM juga akan menawarkan baju T 8th F1 World Constructor's Championship yang terbaru pada harga diskaun RM25.

"Pemandu juga akan menerima Insurans Personal Accident secara percuma oleh AXXESS bernilai sehingga RM25,000 selama satu bulan, tertakluk terma dan syarat," katanya.

Berita Harian X