Khamis, 27 Januari 2022 | 2:32pm
Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay (empat dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd - Foto ihsan MNHB
Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay (empat dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd - Foto ihsan MNHB

MNHB bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, MN Holdings Bhd (MNHB) memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd (M&A Securities) sempena proses tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).

MNHB dalam satu kenyataan berkata, IPO yang dilaksanakannya itu membabitkan terbitan awam sebanyak 81.8 juta saham baharu di dalam MNHB, mewakili 20.0 peratus modal saham diperbesarkan dan tawaran jualan sebanyak 40.9 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih secara penempatan persendirian.

Daripada 81.8 juta saham baharu itu, sebanyak 20.4 juta saham baharu akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi cabutan saham; 8.2 juta saham baharu untuk pengarah dan kakitangan yang layak menerusi peruntukan Borang Pink; 51.1 juta saham baharu dikhususkan bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala baki 2.0 juta saham baharu akan ditawarkan kepada pelabur terpilih.

Berikutan perjanjian taja jamin itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 28.6 juta saham baharu yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia dan peruntukan Borang Pink.

Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay, berkata pemeteraian perjanjian itu akan membawa syarikat selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian di Bursa Securities.

Beliau berkata, penyenaraian itu akan membolehkan kami meneroka masuk ke dalam pasaran modal ekuiti bagi menjana dana untuk menyokong perluasan perniagaannya bagi segmen rumusan dan perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen.

Katanya, sumber operasi syarikatnya bagi melaksanakan kerja kejuruteraan utiliti dan substesen untuk pelanggan bergantung besar kepada adanya mesin dan peralatan.

"Hasil daripada IPO sebahagian besarnya akan diguna bagi membeli pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi memenuhi keperluan di dalam projek kejuruteraan utiliti dan substesen yang pelbagai skala dan tahap kerumitan.

"Di samping itu, kami percaya bahawa pembelian mesin dan peralatan ini kelak akan membolehkan kami meluaskan sumber-sumber kami dan keupayaan projek di dalam melaksanakan projek yang tahap kerumitan dan berskala besar," katanya.

Sebahagian hasil IPO itu nanti juga akan digunakan bagi membayar balik pinjaman bank, modal kerja am dan membayar anggaran perbelanjaan proses penyenaraian.

MNHB dijadual disenaraikan di Papan ACE Bursa Securities pada April 2022. M&A Securities adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi proses IPO itu.

MNHB secara prinsipal terbabit di dalam penyediaan perkhidmatan utiliti prasarana merangkumi perkhidmatan dan rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah dan perkhidmatan dan rumusan kejuruteraan substesen.

Syarikat memberi perkhidmatan kepada pelanggan kebanyakannya di dalam industri tenaga, gas, pembetungan dan telekomunikasi di Malaysia.

Pelanggannya kebanyakan terdiri daripada kontraktor utama bagi projek utiliti, pemaju hartanah dan industri yang memerlukan perkhidmatannya untuk membolehkan bekalan elektrik ke lokasi dan/ atau premis yang khusus.

Berita Harian X