Khamis, 27 Januari 2022 | 1:11pm
AirAsia memulakan semula penerbangan ke Phnom Penh, Kemboja - Foto hiasan
AirAsia memulakan semula penerbangan ke Phnom Penh, Kemboja - Foto hiasan

AirAsia sambung semula penerbangan ke Phnom Penh

KUALA LUMPUR: AirAsia menyambung semula penerbangannya ke Phnom Penh, Kemboja daripada hanya RM194 sehala untuk perjalanan antara sekarang dan 23 Mac 2022 berserta tawaran menarik lain bagi meraikannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata penerbangan pertama yang menggunakan pesawat Airbus A320 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 12.40 tengah hari semalam melalui penerbangan AK 538.

"Tetamu yang divaksin sepenuhnya dari Malaysia yang ingin melancong ke Kemboja mestilah memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh kerajaan Kemboja sebelum menempah penerbangan mereka dan semasa ketibaan,'' katanya.

Tetamu juga boleh mendapatkan tawaran pakej penerbangan dan hotel bernilai hebat dengan diskaun sehingga 30 peratus dengan menekan ikon 'SNAP' di Super App serta menempah penginapan secara berasingan dengan menekan ikon 'Hotels' untuk menikmati diskaun tambahan 10 peratus dengan kod promosi AAHOTEL10.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata AirAsia berbangga untuk menyokong inisiatif kerajaan Kemboja dan berharap untuk melancarkan lebih banyak penerbangan ke negara itu tidak lama lagi.

"Dari segi operasi, kami sudah bersedia secara menyeluruh demi keselamatan dan kesejahteraan tetamu," jelas beliau.

Beliau turut menambah, pengembara di seluruh Malaysia juga boleh menempah penerbangan sulung untuk tiga laluan domestik baharu pada minggu ini iaitu Pulau Pinang-Sibu (27 Januari), Johor Bahru-Bintulu (28 Januari) dan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu (30 Januari).

Berita Harian X