Rabu, 26 Januari 2022 | 8:21pm
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL)
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL)

ERL tumpu tambah baik pengalaman pelanggan

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan mengutamakan kerjasama dengan rakan strategik dan menumpukan untuk menambah baik pengalaman pelanggan sempena memasuki 20 tahun perkhidmatannya pada April 2022.

ERL menerusi kenyataan hari ini berkata, penumpangnya meningkat beransur-ansur bulan ke bulan sejak bermula Fasa Empat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan orang ramai kembali bekerja dan melancong untuk percutian domestik.

Bagi mempercepat pemulihan penumpang, ERL berkata ia akan meneruskan transaksi tanpa tunai dengan menyediakan lebih banyak tawaran tahun ini melalui kerjasama dengan TNG Digital Sdn Bhd (TNGD), ShopeePay dan Bank Islam.

"ERL menawarkan diskaun lebih besar sebanyak 20 peratus (meningkat berbanding 15 peratus pada promosi tahun lepas) kepada pelanggan yang menggunakan e-dompet Touch 'n Go atau kad Bank Islam bagi transaksi tanpa tunai.

"Pada tahun ini akan turut menyaksikan ERL merancakkan semula kerjasama perniagaan-kepada-perniagaannya yang dimulai dengan program mini mengenai aplikasi e-dompet Touch 'n Go dan melancarkan semula jualan tiket kereta api di platform tempahan penerbangan Malaysia Airlines, selain platform digital perjalanan dan gaya hidupnya, Journify berikutan persediaan negara untuk membuka sempadan antarabangsa," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Noormah Mohd Noor, berkata penumpang ERL meningkat 59 peratus tahun ke tahun pada suku terakhir 2021 dan berharap langkah penjimatan kos yang diambil setakat ini dan inisiatif baharu yang dirancang akan meletakkan ERL kembali ke landasan pada tahun ini.

"Kami menyaksikan pertumbuhan transaksi tanpa tunai yang stabil terutama melalui pengenalan e-dompet di platform kami sejak 2016 dan pelancaran semula aplikasi KLIA Ekspres semua baharu, pada tahun lalu," katanya.

Noormah berkata, setakat ini, hampir 60 peratus daripada transaksi pertiketan ERL adalah tanpa tunai, peningkatan ketara berbanding 39 peratus pada lima tahun lalu.

Menurut ERL, tiket KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan ditawarkan di platform baharu menjelang akhir Januari 2022 untuk perjalanan sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi, jadual lengkap perkhidmatan kereta api dan kemas kini mengenai langkah-langkah ERL bagi mencegah COVID-19, layari www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres.

-BERNAMA

Berita Harian X