Rabu, 26 Januari 2022 | 3:14pm
Pengarah i-City, Monica Ong dan Pengarah Enterpris CMIM, Jackie Chen Jiang Long memegang dokumen perjanjian kerjasama bangunan hijau pertama Malaysia - Foto ihsan i-Bhd
Pengarah i-City, Monica Ong dan Pengarah Enterpris CMIM, Jackie Chen Jiang Long memegang dokumen perjanjian kerjasama bangunan hijau pertama Malaysia - Foto ihsan i-Bhd

i-City, China Mobile bina bangunan hijau pertama Malaysia

SHAH ALAM: i-City menjalin kerjasama strategik dengan China Mobile (CMIM) untuk mempertingkatkan lagi i-City, bandar teknologi No. 1 Malaysia dengan membangunkan bangunan hijau pintar pertama di negara ini.

Pengarah i-City, Monica Ong, berkata menara korporat akan dilengkapi dengan kamera dan pengesan internet 5G untuk memantau alam sekitar, penggunaan tenaga dan aliran trafik manusia untuk tujuan pengumpulan data.

Beliau berkata, dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digabungkan ke dalam fabrik bangunan, tenaga yang digunakan untuk menyalakan lampu, penghawa dingin dan peralatan elektrik lain boleh ditala secara automatik berdasarkan cuaca dan bilangan orang di dalam bangunan.

"Perancangan sumber untuk keselamatan dan kebersihan juga boleh diuruskan dengan lebih berkesan dengan data yang mencukupi dikumpulkan, mesin disambungkan ke bangunan akan dapat mengenal pasti dan memberitahu waktu puncak kepada pengurusan dan bilangan petugas kebersihan dan keselamatan yang diperlukan lebih awal dengan keupayaan AI.

"Ini akan meningkatkan kelestarian dan membangunkan pengalaman penyewa yang menjadi keutamaan dan pada masa yang sama memberi penekanan kepada kelestarian dan alam sekitar bagi bandar pintar kami," katanya dalam satu kenyataan.

Ong berkata, i-City tidak berbelah bahagi dalam misinya untuk mencipta nilai yang lebih baik bagi pemegang taruhnya melalui teknologi yang lebih pintar.

Tahun lalu, DoubleTree by Hilton, jenama hotel yang sinonim dengan mempunyai bangunan paling pintar di Doha, Qatar memindahkan DoubleTree by Hilton ke i-City berikutan infrastruktur sedia ada yang menyokong pengurusan bilik tetamu yang inovatif, bilik yang disejukkan terlebih dulu kira-kira 25 darjah Celsius apabila mereka tiba di lobi, pencahayaan, kawalan langsir serta sistem kunci pintu pintar berasaskan biometrik.

Ong berkata, dengan pelancaran 5G tahun ini, i-City akan memantapkan AI bagi memastikan ultrapolis itu mengekalkan kedudukannya sebagai bandar paling pintar progresif dan pertama di Malaysia.

Mengenai kerjasama itu, beliau berkata, i-City yakin China Mobile dengan rekod prestasi 14 tahunnya membangunkan teknologi cekap tenaga untuk menangani perubahan iklim melalui 'Pelan Tindakan Hijau' bersama dengan kepimpinan pemikirannya dalam ruang metaverse adalah sangat baik dengan hala tuju i-City hari ini.

Sementara itu, Pengarah Enterpris CMIM, Jackie Chen Jiang Long, berkata penyedia penyelesaian teknologi itu gembira dengan komitmen i-City dalam mengoptimumkan penggunaan AI dalam pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, pihaknya tidak sabar bekerjasama dengan i-City untuk terus membangunkan penyelesaian berasaskan ICT inovatif untuk membantu menjimatkan tenaga dan mengurangkan jejak karbon bagi melindungi ekosistem alam sekitar.

Berita Harian X