Selasa, 25 Januari 2022 | 10:53am

Seng Heng disenaraikan bawah harga IPO

KUALA LUMPUR: Peruncit elektrik dan elektronik (E&E) pengguna, Senheng New Retail Bhd, memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan kurang memberangsangkan apabila didagangkan pada 90 sen, diskaun 15.9 peratus daripada harga terbitannya, RM1.07 pagi ini.

Sebanyak 6.19 juta saham didagangkan pada pembukaan.

Syarikat itu menjana modal sehingga RM267.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) berkenaan.

Daripada jumlah itu, RM22 juta akan digunakan bagi membangunkan perniagaan pengedaran jenama baharu manakala RM160.5 juta untuk membuka cawangan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai berkonsep yang lebih besar dan dipertingkatkan.

Senheng menyasarkan untuk menaik taraf atau membuka 61 kedai baharu dan sedia ada dari 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggannya.

RM29.7 juta lagi akan digunakan untuk mengembangkan dan menaik taraf gudang dan rangkaian logistik serta meningkatkan infrastruktur digital syarikat.

Baki RM55.3 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian.

Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng, berkata syarikat itu telah memperuntukkan RM22 juta daripada hasil IPO dalam tempoh tiga tahun untuk mengembangkan perniagaan pengedaran jenamanya.

Katanya, Senheng memulakan perniagaan pengedaran jenamanya pada 2020, di mana ia dianugerahkan pengedaran eksklusif peralatan dapur jenama antarabangsa, ROBAM dan pembersih vakum dan pengering rambut Jimmy.

"Senheng turut melancarkan jenama peralatan memasak sendirinya, 'Delighto' pada Ogos 2021.

"Kami mahu mengambil langkah lebih jauh, dengan menawarkan lebih banyak jenis produk kepada pelanggan kami, terutamanya dalam penjagaan rumah dan peribadi.

"Sebagai contoh, kami telah menjual hampir RM2 juta produk Delighto dalaman kami dalam tempoh lima bulan selepas pelancarannya, yang menunjukkan penerimaan pasaran yang kukuh," katanya selepas majlis penyenaraian syarikat itu hari ini.

Kim Heng, berkata ini memberi keyakinan syarikat untuk mengembangkan perniagaan pengedaran jenamanya dalam tempoh tiga tahun daripada penyenaraiannya.

"Kami akan terus mengenal pasti jenama peralatan dapur, peralatan penjagaan diri dan kecantikan, peralatan elektrik rumah dan produk IoT yang sesuai, untuk memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna Malaysia dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Selain itu, kami akan melengkapkan portfolio produk yang lebih besar dengan aplikasi Senheng serba baharu, di mana kami menyasarkan untuk membawa ekosistem gaya hidup baharu kepada ahli setia PlusOne kami," katanya.

Berita Harian X