Ahad, 23 Januari 2022 | 11:10am
(Gambar fail) Menara saluran 5G - Bloomberg
(Gambar fail) Menara saluran 5G - Bloomberg

Konsortium 5G SMTrack di peringkat akhir dapatkan projek

KUALA LUMPUR: Satu konsortium yang ditubuhkan baru-baru ini bagi membiayai projek 5G dan 5G Infra Tech Solution Sdn Bhd masih belum menerima sebarang projek daripada pihak Digital Nasional Bhd (DNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia selepas pengumuman langkah korporat terbabit oleh konsortium berkenaan pada minggu lalu.

Pada Isnin, konsortium itu yang merangkumi SMTrack Bhd berserta lima syarikat tersenarai – Country Heights Holdings Bhd, Jiankun International Bhd, Sersol Bhd, Techna-X Bhd and MQ Technology Bhd telah menandatangani satu perjanjian induk (HOA) bagi pengumpulan dana serta pembiayaan projek 5G dan berkaitan rangkaian gentian optik.

Dalam jawapan terhadap pertanyaan Bursa Malaysia, empat syarikat terbabit iaitu Jiankun International, Techna-X, SMTrack dan MQ Technology bagaimanapun menegaskan bahawa satu memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai antara 5G Infra Tech dan Ennova Sdn Bhd.

Di bawah perjanjian itu, 5G Infra Tech dan Ennova akan membentuk usaha sama membabitkan projek berkaitan rangkaian itu.

Ennova juga di peringkat akhir bagi memperoleh 350 kontrak menara telekomunikasi yang akan dipajak kepada DNB dan memulakan projek selepas pemuktamadan perjanjian dengan 5G Infra Tech dan/atau konsortium berkenaan.

"Perjanjian usaha sama itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh MoA," katanya.

MoA berkenaan meliputi tempoh setahun mulai 14 Januari 2022.

Syarikat terbabit juga menjangkakan satu perjanjian muktamad dapat dimeterai dalam tempoh tiga bulan susulan pemeteraian perjanjian induk (HoA) antara peserta konsortium dan 5G Infra Tech.

Bagaimanapun, maklumat lanjut dan harga terbitan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) dalam 5G Infra Tech masih belum diputuskan setakat ini.

Ia juga belum memuktamadkan jumlah anggaran modal/pelaburan yang perlu dilakukan oleh Jiankun dalam perkara terbabit.

"Jumlah peratusan kepentingan ekuiti membabitkan pihak-pihak dalam konsortium itu belum diputuskan lagi setakat ini.

"Pelaburan itu perlu berdasarkan kepada peratusan kepentingan ekuiti dalam konsortium dan ini masih belum ditentukan pada masa ini," kata syarikat-syarikat terbabit.

Selain itu, syarikat menjelaskan bahawa 5G Infra Tech terbabit dalam aktiviti-aktiviti perkhidmatan perundingan selain jururunding seni bina, kejuruteraan dan pengurusan, perkhidmatan kejuruteraan serta eksport dan import pelbagai barangan tanpa pengkhususan tertentu.

5G Infra Tech pula dalam proses menambah aktiviti perniagaan yang meliputi kontraktor infrastruktur telekomunikasi, kata syarikat-syarikat itu. – Bernama

Berita Harian X