Jumaat, 21 Januari 2022 | 2:29pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)

TNB pacu peralihan tenaga ke arah kelestarian

KUALA LUMPUR: Ketika dunia berusaha untuk menangani isu perubahan iklim dan kekangan sumber, Tenaga Nasional Bhd (TNB) melaksanakan peranan penting dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia kepada kelestarian.

TNB, firma utiliti utama negara, terus meningkatkan perbelanjaan modal dan pelaburan untuk memastikan infrastruktur elektrik sedia untuk masa depan dan membolehkan negara mencapai kelestarian tenaga seiring dengan sasaran yang ditetapkan.

Mengikut cadangan pelan untuk melabur RM22 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2024 berlandaskan kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), TNB mahu terus membangunkan grid masa depan sebagai pemboleh utama peralihan menerusi kesambungan rantaian nilai keseluruhan bermula daripada penjanaan sehingga penyaluran ke premis pengguna.

Usaha ini sudah tentu akan menyokong ketersediaan TNB dalam memacu peralihan tenaga pada masa depan.

Di samping itu, TNB menunjukkan kemajuan jelas dalam menggabungkan kelestarian dalam rangkaiannya menerusi pemodenan grid nasional.

Pada 2016, ia memperkenalkan inisiatif 'Reimagining TNB' untuk menyediakan laluan bagi penyahkarbonan, desentralisasi, pendigitalan dan penyahkawalseliaan.

TNB melabur secara besar-besaran dalam inisiatif tenaga boleh baharu untuk menyumbang kepada penjanaan karbon rendah menerusi penyertaannya dalam program Solar Berskala Besar (LSS) dengan LSS Sepang 50MW dan LSS Bukit Selambau 30MW sejak 2016.

Selepas itu, TNB menjalankan penilaian jejak karbon pertamanya pada 2017 dan mengeluarkan Laporan Kelestarian kendiri.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata keputusan TNB untuk memacu peralihan kepada tenaga bersih dan mengubah gabungan tenaga adalah sejajar dengan hasrat strategik syarikat-syarikat global yang lain.

"Peralihan tenaga adalah berasaskan analisis kos-faedah di peringkat global dengan unjuran jangka panjang," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan Mckinsey, impak COVID-19 mengubah keluk permintaan tenaga secara kekal dan walaupun permintaan pulih kepada paras seperti yang dicatatkan pada 2019 dalam tempoh satu hingga empat tahun, namun ia belum kembali ke landasan pertumbuhan sebelum ini.

"Elektrik dan gas pulih lebih cepat berbanding permintaan minyak, dan arang batu tidak lagi mencatatkan paras permintaan seperti sebelum COVID-19 berlaku.

"Menjelang 2035, 50 peratus penjanaan tenaga global adalah daripada sumber boleh baharu. Penggunaan tenaga akan meningkat dua kali ganda pada 2050 susulan lonjakan permintaan tenaga, peningkatan kekayaan dan hidrogen hijau kian memperoleh momentumnya," katanya.

Sebagai penyedia dan pengedar elektrik di negara ini, TNB beraspirasi untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga mampan terkemuka di Malaysia dan antarabangsa.

Ia komited untuk menerapkan agenda kelestarian ke dalam organisasinya bagi memanfaatkan peluang dalam landskap perniagaan yang berubah dengan pesat.

TNB membentangkan hala tuju kelestarian ke arah 2050, yang akan membuka peluang pertumbuhan baharu di samping kekal mendukung peranan teras sebagai penyedia tenaga negara.

Menurut laporan TNB, ia menyasar untuk menyediakan 8.3 gigawatt (GW) tenaga boleh baharu pada 2025, selain melaksanakan komitmen untuk mengurangkan 35 peratus daripada intensiti pelepasannya dan menurunkan kapasiti arang batu sebanyak 50 peratus pada 2035.

Dalam pada itu, Jimah East Power, loji jana kuasa arang batu 1,000 megawatt (MW), yang beroperasi pada 2019, juga akan menjadi loji jana kuasa arang batu baharu yang terakhir bagi TNB.

Firma utama utiliti itu juga beraspirasi untuk merealisasikan pelepasan sifar bersih pada 2050 dengan mempercepat pelaburan dalam teknologi hijau pesat membangun, termasuk hidrogen hijau serta penyerapan dan penggunaan karbon (CCU).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata pihaknya sedang mengambil inisiatif dan memperuntukkan sumber kepada semua matlamat itu untuk merealisasikan sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) TNB mengikut Hala Tuju Kelestarian.

"Menjelang 2035, TNB menyasar untuk mempunyai portfolio terancang 66 peratus tenaga boleh baharu, 24 peratus termal bukan arang batu dan 10 peratus arang batu berbanding 14 peratus tenaga boleh baharu, 41 peratus termal bukan arang batu dan 45 peratus arang batu pada 2021.

"Kami sedang meneroka dan melabur ke dalam teknologi hijau yang berpotensi untuk mempercepat perjalanan kami ke arah sifar bersih," katanya.

Peralihan tenaga akan kekal sebagai antara keutamaan kerana lebih banyak syarikat korporat serta penggiat utiliti terus mengembangkan pendedahan tenaga boleh baharu masing-masing.

Malaysia mempunyai sasaran untuk mengembangkan tenaga boleh baharu kepada 31 peratus campuran penjanaan menjelang 2025 dan 40 peratus pada 2035.

Pada masa ini, tenaga boleh baharu menyumbang kepada 18 peratus campuran tenaga Malaysia, didominasi oleh teknologi kuasa hidro, yang menguasai 86 peratus daripada kapasiti tenaga boleh baharu.

Melalui Hala Tuju Kelestarian, TNB juga mengesahkan komitmennya terhadap rancangan tenaga boleh baharu negara untuk meningkatkan kepentingan kapasiti tenaga boleh Malaysia kepada 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Sehingga kini, ia mempunyai kapasiti tenaga boleh baharu domestik dan antarabangsa sebanyak 3,406MW.

Di Semenanjung Malaysia, TNB sedang membangunkan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang dan telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun untuk pembangunan LSS 50MW di Kuala Muda, Kedah di bawah program pembidaan LSS4, yang dijadualkan mula beroperasi pada 31 Disember 2023.

Selain itu, TNB menerima guna teknologi baharu tenaga boleh baharu seperti solar, angin, biojisim dan biogas yang boleh menjana kapasiti sebanyak 713.2MW.

Ia juga memiliki 49 peratus kepentingan dalam ladang angin luar pesisir di Blyth, United Kingdom pada Oktober 2021.

Pemasangan meter pintar mencecah 1.8 juta pada akhir 2021, sejajar dengan penambahbaikan infrastruktur elektrik oleh TNB bagi membolehkan integrasi teknologi baharu.

Di samping itu, dengan aspirasi yang diperbaharui, pencapaian syarikat utiliti utama berkenaan setakat ini telah membuktikan komitmennya untuk menjadi pembekal utama penyelesaian tenaga lestari.

Usaha berterusan anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX Sdn Bhd, sehingga ini telah mencatatkan kapasiti penjanaan 116MWp daripada 986 projek yang telah diperolehi.

Pelaburan peralihan tenaga masa depan TNB juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekonomi yang maju serta pekerjaan dalam bidang seperti pembuatan solar, kecekapan tenaga dan infrastruktur kenderaan elektrik.

Pembentukan ekonomi ini akan mewujudkan peluang baharu yang tersedia untuk masa hadapan kerana ia membawa teknologi baharu, memerlukan kemahiran lebih tinggi dan menyediakan tawaran nilai tambah.

Justeru, TNB perlu kukuh dari segi kewangan untuk membantu membuat pelaburan yang bukan sahaja akan menyokong agenda peralihan tenaga negara dan merangsangkan ekonomi, malah pada asasnya untuk membentuknya semula.

Berasaskan pulangan yang adil dan munasabah, TNB akan dapat menarik pelaburan secara mampan, mengekalkan kos untuk menghasilkan tenaga elektrik, menyampaikan kebolehpercayaan perkhidmatan bertaraf dunia kepada rakyat dan terus menyumbang kepada negara.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata syarikat itu juga akan terus menyokong pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara.

Usaha itu akan terus dilakukan melalui bekalan elektrik yang boleh diharapkan, menggiatkan semula ekonomi melalui transformasi industri tenaga dan menyumbang kepada rakyat menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan biasiswa, disasarkan kepada kumpulan B40, katanya.

Beliau berkata, TNB perlu kekal teguh dari segi kewangan untuk meneruskan usaha-usaha ini dalam senario ekonomi semasa terutama ketika Malaysia masih bergelut menghadapi cabaran pandemik COVID-19 dan situasi banjir yang melanda baru-baru ini.

Dari 2018 hingga 2020, TNB menyumbang sejumlah RM21 bilion kepada ekonomi dalam pelbagai bentuk, termasuk pembayaran dividen, cukai dan zakat, kontrak kepada vendor, inisiatif CSR dan bantuan COVID-19.

-BERNAMA

Berita Harian X