Jumaat, 21 Januari 2022 | 2:17pm
Censof Holdings Bhd
Censof Holdings Bhd

Censof beli 51 peratus pegangan CCSB

KUALA LUMPUR: Censof Holdings Bhd (Censof), syarikat penyelesaian perisian pengurusan kewangan menyelesaikan pengambilalihan 51 peratus kepentingan dalam Cognitive Consulting Sdn Bhd (CCSB) pada 20 Januari 2022.

Pengarah Urusan Censof, Ameer Shaik Mydin, berkata pengambilalihan adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengukuhkan segmen perniagaan teknologi digital serta meningkatkan pendapatan dan keuntungan kumpulan pada masa hadapan.

Katanya, teknologi Automasi Proses Robotik (RPA) CCSB akan membolehkan Censof meningkatkan proses pelanggan semasanya, mendigitalkan dan mengguna pakai penyelesaian berasaskan awan.

"Censof percaya pelaburan kami dalam CCSB juga akan meningkatkan sinergi dalam menyediakan perkhidmatan Revolusi Perindustrian 4.0 kepada pelanggan sedia ada dalam sektor kerajaan dan komersial," katanya dalam satu kenyataan.

Censof pada 20 Disember 2021 memeterai perjanjian pembelian saham bagi memperoleh kepentingan ekuiti dalam CCSB pada harga RM3.7 juta dengan skim jaminan keuntungan.

Ameer berkata, operasi perniagaan CCSB khususnya adalah dalam penyediaan perkhidmatan perundingan teknologi maklumat dan penyepaduan sistem yang mengkhusus dalam RPA.

Beliau berkata, pada dasarnya, RPA adalah teknologi perisian yang membina, menggunakan dan mengurus robot perisian dengan mudah bagi mencontohi tindakan manusia berinteraksi dengan sistem dan perisian digital.

CCSB juga, katanya adalah rakan kongsi teknologi dengan pelbagai penyedia teknologi bertaraf dunia seperti UiPath dan Deepread.

"Pelanggan utama CCSB termasuk Telekom Malaysia Bhd (TM), Pharmaniaga Bhd, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pos Malaysia Bhd," katanya.

Berita Harian X