Khamis, 20 Januari 2022 | 3:15pm
Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) dan Pengarah Urusan Huawei Enterprise Malaysia, David Li pada majlis memeterai kerjasama kedua-dua syarikat bagi membangunkan bandar pintar generasi akan datang - Foto ihsan I-Bhd
Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) dan Pengarah Urusan Huawei Enterprise Malaysia, David Li pada majlis memeterai kerjasama kedua-dua syarikat bagi membangunkan bandar pintar generasi akan datang - Foto ihsan I-Bhd

i-City, Huawei bina bandar pintar generasi baharu

KUALA LUMPUR: i-City bekerjasama dengan Huawei Enterprise Malaysia (Huawei) untuk membina bandar pintar generasi akan datang di bandar teknologi pertama Malaysia yang dibangunkan oleh I-Bhd itu.

Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata generasi akan datang i-City itu membabitkan penambahbaikan kepintaran buatan (AI), dengan tumpuan kepada rumah pintar dan teknologi hartanah untuk membina nilai lebih baik kepada penduduk yang menghuni, bekerja dan melawat bandar berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai boleh membayangkan untuk melawat bandar yang sibuk dengan aktiviti ekonomi, tetapi tiada kesesakan trafik.

"Bayangkan boleh bergerak lancar dengan bas automatik yang tiba tepat pada masanya. Bayangkan sebuah bandar yang boleh bekerjasama dengan unit pengkuatkuasaan untuk mencegah jenayah sebelum ia berlaku.

"Bayangkan berpindah ke pejabat yang mempunyai semua infrastruktur AI yang membolehkan syarikat berkembang dan merancang sumber. Itulah ultrapolis i-City yang disasarkan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi I-Bhd, Ricky Lim, berkata dengan penambahbaikan AI, pemilik hartanah boleh merasai bangunan yang lebih cekap, manakala penghuni dan pengunjung menikmati gaya hidup lebih selesa.

Perniagaan pula, akan memiliki kecekapan jalur lebar super dan perkhidmatan yang mempunyai pertindihan amat rendah.

I-Bhd, katanya komited dalam misi untuk membina nilai lebih baik kepada pihak berkepentingan menerusi teknologi lebih pintar.

"Kami memastikan semua rumah dipasang dengan fiber optik. Kami juga pusat bandar pertama yang mempunyai pusat data lengkap pensijilian Tier-3 bersepadu.

"Ia memberikan pembangunan ini kelebihan sebagai kawasan yang mempunyai sambungan jalur lebar tertinggi di Malaysia. Dengan adanya infrastruktur asas, kami menambah sambungan dengan memperkenalkan elemen pintar lain seperti rumah pintar dan i-City SuperApp," katanya.

Lim berkata, dengan pelaksanaan 5G tahun ini, i-Citu akan menyaksikan lonjakan penggunaan peralatan berkeupayaan Internet.

"Penduduk akan mahu menggunakan telefon pintar untuk menguruskan peralatan berkeupayaan Internet di rumah dan menggunakan kemudahan sekeliling seperti hotel, pusat beli belah, Taman Tema i-City dan tidak lama lagi, bas pengantara automatik," katanya.

Pengarah Urusan Huawei Enterprise Malaysia, David Li, berkata pihaknya akan membangunkan teknologi dan infrastruktur diperlukan bagi menyokong 'bandwidth' yang diperlukan untuk membawa data daripada jutaan peralatan berkeupayaan Internet seperti telefon pintar, CCTV dan sensor.

Berita Harian X