Khamis, 20 Januari 2022 | 1:26pm
Hap Seng Consolidated Bhd
Hap Seng Consolidated Bhd

Hap Seng terbit bon lestari RM5 bilion

KUALA LUMPUR: Hap Seng Management Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Hap Seng Consolidated Bhd, menerbitkan tranche pertama Bon Berkaitan Kelestarian (SLB) di bawah Program Bon Tanpa Penarafan dengan nilai nominal sehingga RM5 bilion.

Dalam satu kenyataan, Hap Seng berkata terbitan SLB itu dilaksanakan pada bulan lalu dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd bertindak sebagai Pengurus Utama Tunggal.

Hap Seng berkata, ia mengguna pakai pendekatan berbilang segi ke arah kelestarian dengan memenuhi sembilan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari/Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), yang bertujuan melindungi kesejahteraan kakitangan dan tempat kerja, mengehadkan kesan operasi perniagaan terhadap alam sekitar dan merapatkan jurang ekonomi dan sosial di Malaysia.

"Penerbitan SLB menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha kelestarian Hap Seng, yang bermula pada 2014 apabila anak syarikat tersenarainya, Hap Seng Plantations Holdings Bhd menerbitkan laporan kelestarian sulung, diikuti oleh penyata kelestarian Hap Seng sendiri pada 2016," katanya.

SLB diatur menurut Prinsip Bon Berkaitan Kelestarian Persatuan Pasaran Modal dan melibatkan mekanisme pelarasan kadar faedah boleh ubah berasaskan pencapaian Sasaran Prestasi Kelestarian (SPT).

SPT yang dipilih bertujuan mendorong usaha mengurangkan penggunaan air dan elektrik dan juga menggalakkan penggunaan tenaga solar dan kitar semula air hujan.

Pengarah Urusan Kumpulan Hap Seng, Datuk Edward Lee Ming Foo, berkata pembiayaan lestari ialah kaedah yang penting untuk merapatkan jurang antara kepentingan komersial pemegang saham dengan matlamat menyeluruh pemuliharaan alam sekitar.

"Kami amat berbangga dengan penerbitan bon berkaitan kelestarian sulung yang menekankan komitmen kepada kelestarian alam sekitar.

"Kami berhasrat untuk memainkan peranan sebagai sebuah syarikat korporat dengan menyumbang ke arah pemuliharaan sumber alam dan mengurangkan kesan buruk perubahan iklim dengan mengguna pakai amalan terbaik dalam operasi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Pegawai Bank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin berkata penceburan Hap Seng dalam pembiayaan patuh ESG mencerminkan komitmennya yang kukuh ke arah masa depan lestari, selain memperlihatkan trend positif penerimaan pembiayaan lestari dalam kalangan syarikat tersenarai Malaysia.

"OCBC Bank menjadi penggerak utama bagi inisiatif khusus ini, selepas memeterai Memorandum Persefahaman dengan Bursa Malaysia pada bulan lalu untuk menubuhkan #financing4ESG sebagai sebahagian daripada sumbangan berterusan kami untuk menggiatkan lagi agenda kelestarian dalam kalangan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan Malaysia.

"Kami melihat pelaksanaan pembiayaan lestari yang semakin meningkat sebagai petanda positif bahawa sektor korporat mendukung komitmen yang sama dengan kerajaan untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X