Rabu, 19 Januari 2022 | 8:15pm
Restoran Sushi King - Foto hiasan
Restoran Sushi King - Foto hiasan

Texchem tambah pegangan dalam Sushi King

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Texchem Resources Bhd (TRB), Sushi King Holdings Sdn Bhd (SKHSB), memeterai Perjanjian Pemindahan Saham dengan Asia Yoshinoya International Sdn Bhd untuk memperoleh 1.40 juta saham biasa yang mewakili 28 peratus kepentingan dalam Sushi King Sdn Bhd (Sushi King) pada pertimbangan tunai sebanyak RM102.20 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TRB berkata cadangan pengambilalihan itu, yang akan meningkatkan pegangan SKHSB dalam Sushi King kepada 98.35 peratus, dijangka selesai pada separuh pertama 2022.

Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan TRB dan anak syarikatnya (TRB Group), meningkatkan aset dan asas pendapatannya melalui penyatuan kepentingan ekuiti tambahan dalam Sushi King dan memudahkan proses membuat keputusan dan kawalan dalam perniagaan restoran yang dikendalikan di bawah bahagian restoran TRB Group.

"Memandangkan Sushi King sudah pun menjadi 70.35 peratus anak syarikat tidak langsung TRB, cadangan pengambilalihan itu tidak dijangka menyebabkan TRB Group terdedah kepada risiko tambahan yang wujud daripada perniagaan restoran dan/atau industri makanan dan minuman," katanya.

"Cadangan pengambilalihan itu akan memberi peluang kepada kumpulan untuk meningkatkan sumbangan hasil daripada bahagian restoran.

"Selain itu, Sushi King akan dapat mengukuhkan proses membuat keputusannya, sekali gus membolehkan lebih fleksibiliti, memudahkan dan pantas dalam membuat keputusan untuk syarikat merancang strategi perniagaan," kata TRB.

Ia menambah, cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan pendapatan sesaham TRB Group.

-BERNAMA

Berita Harian X