Isnin, 17 Januari 2022 | 9:04pm

Saham SCIB didagangkan semula Rabu ini

zaky@bh.com.my

KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), pakar kejuruteraan sivil mengumumkan dagangan semula sahamnya di Bursa Malaysia Rabu ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman, berkata ia susulan langkah SCIB mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 yang turut merangkumi penyata kewangan tahunan teraudit (AFS) bersama laporan pengarah bagi 18 bulan terkumpul bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021.

"Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa usaha komited kami telah membuahkan hasil apabila SCIB menyiapkan laporan yang telah diaudit dan mengeluarkan Laporan Tahunan 2021.

"Pasukan kerja, jawatankuasa audit dan lembaga pengarah bekerja keras memainkan peranan mereka dalam tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang dihadapi oleh syarikat, oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dan Bursa Malaysia atas kesabaran mereka sepanjang tempoh ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 November 2021, dagangan saham SCIB digantung selepas syarikat itu gagal menghantar laporan tahunannya.

Sebelum penggantungan, saham pengeluar produk konkrit pra-tuang yang berpangkalan di Sarawak itu berada pada 20.5 sen.

Seminggu sebelumnya, syarikat terbabit menerima amaran daripada Bursa Malaysia bahawa sekuritinya berdepan penggantungan urus niaga jika ia gagal mengeluarkan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

Sebelum itu, Bursa Malaysia menolak permohonan SCIB untuk melanjutkan tempoh sehingga 31 Disember 2021 bagi mengeluarkan laporan tahunan bagi tahun kewangan dinyatakan.

Rosland berkata, SCIB kini akan memberi tumpuan kepada mencipta nilai dan mengoptimumkan prestasi syarikat pada tahun-tahun mendatang dengan tumpuan pengembangan perniagaan di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

"Walaupun kami berhadapan dengan halangan, SCIB tidak berputus asa kerana kami mempunyai projek lain yang dilaksanakan mengikut jadual dan kami juga mengambil inisiatif untuk mencari peluang di Malaysia dan negara jiran lain.

"Kami melihat prospek yang berpotensi di peringkat domestik dan serantau. SCIB mahu memanfaatkan sepenuhnya pasaran baru muncul dengan menyusun semula kedudukan geografi kami.

"Pada masa ini, sasaran pasaran kami untuk pertumbuhan perniagaan bertumpu kepada konsesi projek penyelenggaraan jalan raya di seluruh Malaysia, projek pembangunan perumahan termasuk kontrak PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) serta projek loji rawatan air," katanya.

Berita Harian X