Isnin, 17 Januari 2022 | 5:39pm
(Gambar fail) Dataran Lang, Langkawi. - NSTP/HAMZAH OSMAN
(Gambar fail) Dataran Lang, Langkawi. - NSTP/HAMZAH OSMAN

Tempahan perjalanan di Shopee naik 70 peratus

KUALA LUMPUR: Shopee Malaysia merekodkan peningkatan hampir 70 peratus bagi tempahan perjalanan bas dan penerbangan di platformnya bagi tempoh dua minggu pertama Januari 2022 berbanding tempoh sama bulan lalu.

Ketua Kempen Pemasarannya, Kenneth Soh, berkata peningkatan ketara itu menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia kini berasa selesa dan optimis untuk melakukan perjalanan jauh.

Katanya, mereka juga didapati mengambil langkah-langkah berjaga sebelum pulang ke kampung apabila terdapat peningkatan permintaan untuk pelitup muka dan baucer ShopeePay bagi mendapatkan kit ujian COVID-19 di platformnya.

"Ia amat menggalakkan untuk melihat pemulihan industri pelancongan di Shopee apabila orang ramai mula membuat perancangan untuk bercuti semula.

"Kami akan terus bekerjasama rapat bersama rakan-rakan kami dalam industri ini untuk menyediakan pengalaman tempahan yang lancar, selamat dan mudah untuk penerbangan, bas dan hotel di platform kami," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari Tahun Baru Cina Shopee di sini, hari ini.

Shopee bekerjasama bersama Agoda, Airpaz dan Easybook.com untuk memenuhi keperluan perjalanan orang ramai menerusi CNY Travel Campaign dari sekarang hingga 26 Januari 2022.

Rakyat Malaysia boleh menempah perjalanan pulang untuk bertemu semula dengan ahli keluarga sambil menikmati diskaun 10 peratus (terhad pada RM20) bagi tempahan tiket bas, hotel atau penerbangan melalui portal dalam aplikasi Tiket, Tambah Nilai & Bil di Shopee.

Pengguna yang membuat tempahan semasa tempoh kempen akan didaftarkan secara automatik untuk cabutan bertuah di mana mereka berpeluang memenangi hadiah utama iaitu penginapan tiga hari dua malam di Camar Langkawi Resort dengan Baucar Penerbangan RM250.

Sementara itu Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, Airpaz, Wesley Wijaya, berkata mereka mengunjurkan peningkatan 100 peratus dalam tempahan perjalanan udara untuk bulan Januari 2022 di platformnya dan juga di Shopee, berbanding bulan Disember tahun lalu.

"Kami menjangkakan pemulihan positif memandangkan orang ramai kini lebih yakin untuk melakukan perjalanan ekoran peningkatan kadar vaksinasi, dan pembukaan semula laluan perjalanan.

"Kami berharap perjalanan melalui udara akan pulih sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2022," katanya.

Bagi Pengarah Urusan Easybook.com, William Lee, mereka mencatatkan peningkatan bagi tempahan bas memandangkan perayaan Tahun Baru Cina akan tiba dalam masa hanya dua minggu lagi, dengan destinasi popular termasuk Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

"Permintaan tiket bas bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) juga meningkat 20 kali ganda untuk Tahun Baru Cina.

"Kami melihat penurunan dalam perjalanan semasa perayaan Tahun Baru Cina pada tahun lalu disebabkan sekatan pergerakan dan kami menjangkakan bahawa jualan tiket bas akan meningkat menjelang Tahun Baru Cina pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X