Isnin, 17 Januari 2022 | 4:58pm
Ahli Lembaga Pengarah pada Mesyuarat Agong Ke-60 Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB).
Ahli Lembaga Pengarah pada Mesyuarat Agong Ke-60 Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB).

F&N kekal berdaya tahan depani cabaran

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran jangka pendek global berikutan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata syarikat berada dalam landasan tepat untuk mencapai matlamat pertumbuhan jangka panjangnya dengan pelaksanaan strategi secara konsisten.

"Tahun kewangan 2022 kekal mencabar berikutan pandemik COVID-19 yang berlanjutan dan harga komoditi yang dijangka terus meningkat, tetapi ini tidak akan mengalihkan fokus F&NHB daripada inisiatif strategiknya ke arah masa depan yang lebih mampan.

"Bagaimanapun, jangkaan jangka pendek pula, kami tetap yakin dengan potensi jangka panjang pasaran kami. Kumpulan telah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang sejarah 139 tahun kami dan kunci kepada ketahanan kami ialah keupayaan untuk menerima kesan jangka pendek untuk kemampanan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) Ke-60 Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB).

Melangkah ke tahun 2022, Yew Hoe berkata, kumpulan akan menekankan penambahbaikan dan pengurusan kos, terutamanya Kos Barang Dijual (COGS), termasuk mengkaji semula perbelanjaan perdagangan, pelaburan perbelanjaan modal (capex) strategik untuk meningkatkan kecekapan dan perolehan pintar untuk mendapatkan nilai yang lebih baik.

"Kumpulan juga akan memanfaatkan keupayaan segmen pembuatannya yang kukuh, mempelbagaikan rangkaian produk, dan memperhalusi campuran dan harga produk bagi mencapai keuntungan maksimum.

"Berdasarkan pulangan aktiviti ekonomi yang menggalakkan, kami akan terus membina strategi pemasaran adaptif bagi merebut peluang dalam persekitaran yang giat berubah.

"Kami percaya bahawa kami bersedia untuk mengharungi cabaran, seperti mana kami telah mengatasi gangguan dan ketidakpastian pasaran akibat COVID-19 untuk mencapai prestasi yang berdaya tahan sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau menegaskan, untuk jangka masa yang lebih panjang, kumpulan kekal teguh dalam keutamaan strategiknya dan akan terus membina tonggak perniagaan keempatnya - Makanan Berbungkus Halal.

"Setahun selepas mengambilalih Syarikat Sri Nona, ia telah memberi sumbangan positif sulungnya kepada tahun kewangan 2021.

"Kumpulan beranggapan bahawa jenama Sri Nona masih mempunyai banyak potensi untuk direalisasikan, terutamanya bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk produk makanan yang mudah dan sedia dihidang.

Perniagaan makanan halal berkembang pada kadar dua angka. Oleh itu, kumpulan sedang mengkaji untuk memperluaskan rangkaian produk dan kapasiti pengeluaran sebagai salah satu strategi jangka panjang untuk terus berkembang di dalam pasaran halal," katanya.

Yew Hoe berkata, akan terus 'membayangkan semula' perniagaannya melalui pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan untuk memastikan masa depan yang lebih mampan, termasuk membina keupayaan dan aliran pendapatan baharu, mengenalpasti peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A), dan terus melangkah ke arah aspirasi menceburi bidang penternakan tenusu.

"Kegiatan eksport akan terus menjadi keutamaan bagi Food & Beverage Malaysia dan Food & Beverage Thailand pada tahun kewangan 2022," katanya.

Berita Harian X