Ahad, 16 Januari 2022 | 1:53pm
Datuk Dr Abdul Rahim Hashim
Datuk Dr Abdul Rahim Hashim

Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi PetChem

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) melantik Datuk Dr Abdul Rahim Hashim sebagai Pengerusi berkuat kuasa 1 Januari 2022.

PetChem memaklumkan kepada Bursa Malaysia, Abdul Rahim, 68, sebelum ini memegang pelbagai jawatan kanan di PETRONAS termasuk Naib Presiden bahagian pengurusan sumber manusia, Naib Presiden bagi perniagaan gas dan Naib Presiden bahagian penyelidikan dan teknologi, jawatan yang dipegangnya sehingga bersara pada Disember 2008.

Beliau memulakan kerjaya dalam syarikat minyak nasional itu sebagai jurutera elektrik selepas menamatkan pengajian dari University of Birmingham, Britain, pada 1976.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Penapisan (Melaka) Sdn Bhd dan Malaysian Refining Company Sdn Bhd.

Abdul Rahim juga pernah menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas antara 2012 dan 2017, serta Naib Canselor Universiti Malaya antara 2017 dan 2020.

Beliau kini adalah pengarah di Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia ​(MiGHT).

-BERNAMA

Berita Harian X