Ahad, 16 Januari 2022 | 1:23pm
Muhammad Fikri Mohamad Rawi
Muhammad Fikri Mohamad Rawi

Muhammad Fikri CEO baharu Takaful Ikhlas

KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Bhd (MNRB) melantik Muhammad Fikri Mohamad Rawi sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat takaful keluarganya, Takaful Ikhlas Family Bhd, berkuat kuasa 14 Januari 2022.

Penanggung insurans semula nasional itu berkata, Muhammad Fikri, yang sebelum ini CEO Sun Life Malaysia Takaful Bhd, berkhidmat selama hampir tiga dekad dalam sektor perkhidmatan kewangan, termasuk 13 tahun khusus dalam industri insurans dan takaful.

Dalam kenyataan, Pengerusi Datuk Johar Che Mat berkata Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinan Muhammad Fikri, Takaful Ikhlas Family akan menjadi lebih kukuh dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang.

"Kami ingin melihat beliau menerajui usaha dalam memacu prestasi perniagaan dalam kami mengembangkan dan memperkukuh keupayaan kami," katanya.

Sementara itu, Presiden dan CEO Kumpulan, Zaharudin Daud, berkata pelantikan baharu ini akan terus memacu komitmen Takaful Ikhlas Family dalam mencapai kecemerlangan perkhidmatan pelanggan, menawarkan produk yang inovatif dan membina kesetiaan jenama.

-BERNAMA

Berita Harian X