Sabtu, 15 Januari 2022 | 9:14am
Produk keluaran Karex Bhd
Produk keluaran Karex Bhd

Permintaan kondom dijangka meningkat tahun ini

KUALA LUMPUR: Pengeluar kondom terbesar dunia, Karex Bhd menjangka permintaan akan mengatasi tahap pra-pandemik tahun ini dengan pengguna membeli produk premium dan agensi kesihatan kerajaan meningkatkan stok.

Jualan jenama seperti Durex meningkat 30 peratus pada 2021 dan mewakili 60 peratus pendapatannya, melonjak daripada 49 peratus setahun lalu.

"Ketika terdapat 40 peratus penurunan dari segi penggunaan global, segmen pengguna Karex terus berkembang," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Goh Miah Kiat kepada Reuters.

"Tahun ini, saya menjangkakan permintaan akan pulih ke tahap pra-pandemik. Jualan akan terus bertambah apabila pengguna membeli lebih banyak produk premium."

Jualan tetap meningkat khususnya bagi perniagaan pengguna syarikat itu selepas pandemik mencetuskan sekatan pergerakan, penutupan kilang dan menjejaskan aktiviti sosial, katanya kepada Reuters.

Beliau enggan memberikan angka unjuran.

Bagi tahun berakhir Jun 2021, jualan syarikat berkembang enam peratus, berbanding empat peratus tahun sebelumnya, meskipun ia mencatatkan kerugian tahunan pertama sejak disenaraikan pada 2013.

Bagi tahun fiskal 2022, penganalisis menjangkakan jualan akan berkembang sembilan peratus, demikian menurut data Refinitiv Eikon.

Miah Kiat berkata, permintaan akan didorong oleh langkah pengedar dan jabatan kerajaan menambah stok yang berkurangan sejak dua tahun lalu.

"Kami mula melihat banyak tempahan datang secara kecemasan."

Syarikat itu juga merancang untuk melancarkan barisan produk baharu tahun ini, termasuk kondom diperbuat daripada bahan sintetik dan meninjau untuk mempelbagaikan kepada pengeluaran sarung tangan perubatan, kata Miah Kiat.

Ia akan bermula dengan menyasar untuk mengeluarkan 500 juta sarung tangan di kilang dekat Thailand menjelang Mac dan menambah pengeluaran kepada kapasiti penuh 2.5 bilion dalam tempoh tiga tahun, katanya.

-Reuters

Berita Harian X