Jumaat, 14 Januari 2022 | 2:50pm

UMW catat jualan 32,229 kenderaan pada Disember

KUALA LUMPUR: Kumpulan UMW Holdings Bhd mengakhiri 2021 dengan merekodkan prestasi jualan automotif yang menggalakkan sebanyak 32,229 unit pada Disember 2021.

UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutunya, PERODUA terus mencatatkan jualan yang lebih tinggi walaupun menghadapi cabaran akibat banjir pada Disember 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali, berkata UMWT mencatatkan jualan sebanyak 9,289 unit pada Disember 2021, 9.4 peratus lebih tinggi berbanding dengan 8,487 unit pada November 2021.

Beliau berkata, bagi keseluruhan 2021, UMWT melepasi sasaran jualan tahunan, iaitu 62,000 unit, dengan jualan kenderaan sebanyak 72,394 unit, 22 peratus lebih daripada 59,320 unit tahun sebelumnya.

Justeru itu katanya UMWT berjaya merangkul semula posisi sebagai peneraju segmen bukan nasional dalam industri automotif Malaysia.

"Prestasi yang memberangsangkan ini dipacu oleh pengenalan model baharu serta pengecualian cukai jualan.

"Toyota Vios kekal menjadi model terlaris dengan merekodkan sebanyak 31 peratus daripada jumlah jualannya, diikuti oleh Hilux dan Yaris.

"PERODUA pula menutup tirai 2021 dengan jualan kenderaan sebanyak 22,940 unit pada Disember 2021, 13 peratus lebih tinggi daripada 20,299 unit pada bulan sebelumnya. Ini adalah impak daripada pemulihan dalam rantaian bekalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuaad berkata, UMWT dan Perodua terus menunjukkan daya tahan dan prestasi yang baik walaupun terdapat pelbagai cabaran termasuk kekurangan cip semikonduktor dan gangguan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 serta bencana banjir.

Beliau berkata, jumlah jualan kenderaan pada 2022 pula dijangka akan dipacu oleh jumlah pesanan kenderaan tertunggak yang menggalakkan, pengenalan model baharu serta lanjutan terhadap pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

Berita Harian X