Khamis, 13 Januari 2022 | 2:30pm
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Malaysia - Foto Reuters
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Malaysia - Foto Reuters

AirAsia perkenal empat laluan domestik baharu

SEPANG: AirAsia Malaysia memperkenalkan empat laluan baharu yang menghubungkan bandar-bandar di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak bulan ini.

Laluan berkenaan adalah Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu, Pulau Pinang-Sibu dan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu.

Laluan Kuching-Langkawi bermula sejak 5 Januari lalu dengan tambang termasuk semua sehala daripada RM99, manakala Johor Bahru-Bintulu akan bermula 28 Januari ini dengan tambang daripada RM119.

Sementara itu, laluan Pulau Pinang-Sibu akan bermula 27 Januari ini dengan tambang daripada RM139 dan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu pula akan bermula 30 Januari dengan tambang daripada RM159.

Sempena pelancaran laluan baharu. tetamu boleh mendapatkan tawaran penerbangan dan hotel bernilai hebat dengan menekan ikon 'SNAP' di airasia Super App bermula daripada RM239 dari sekarang hingga 16 Januari 2022 untuk tempoh perjalanan dari 25 Januari hingga 30 Jun 2022.

Mereka yang ingin menempah penginapan secara berasingan boleh menekan ikon 'Hotels' untuk menikmati diskaun tambahan 10 peratus dengan kod promosi AAHOTEL10.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi, syarikat penerbangan itu bersedia sepenuhnya untuk menawarkan lebih banyak laluan ke bandar utama di Malaysia.

Katanya, laluan baharu terbabit akan mengukuhkan lagi rangkaian pelancongan AirAsia di Malaysia selain menyediakan lebih banyak pilihan untuk pelancong antarabangsa untuk melancong antara negeri.

"Kami berharap dapat meneruskan usaha untuk meneroka lebih banyak laluan baharu dari lapangan terbang di Malaysia ke destinasi lain di rangkaian ASEAN kami.

"Dari segi operasi, kami bersedia dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan tetamu dan kakitanga.

Syarikat itu hanya akan menerima tetamu yang sudah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan dan memastikan semua dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang sudah divaksin sepenuhnya.

Selain itu, AirAsia menjaminkan standard keselamatan tertinggi, seiring dengan rancangan mitigasi COVID-19, termasuk hanya menerima tetamu yang sudah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan, mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan melancarkan sistem pengecaman wajah FACES menjadikan keseluruhan pengalaman perjalanan secara digital.

Walaupun hanya menyediakan perkhidmatan terhad selama 20 bulan yang lalu, semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat.

AirAsia juga menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan hanya pesawat AirAsia, tetapi pesawat syarikat penerbangan lain.

Selain itu, semua juruterbang dan kru kabin diberikan latihan dan kursus penyegaran agar sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.

Berita Harian X