Khamis, 13 Januari 2022 | 11:44am
Tan Sri Lee Kim Yew
Tan Sri Lee Kim Yew

Kim Yew bakal miliki lebih banyak saham SMTrack

KUALA LUMPUR: Tan Sri Lee Kim Yew, Datuk Seri Tan Choon Hwa dan Datuk Justin Lim Hwa Tat dijangka membeli lebih banyak saham dalam SMTrack Bhd, sekali gus kembali semula sebagai pemegang saham utama syarikat itu.

Pembelian saham itu adalah perlu selepas pegangan mereka dicairkan mengikut permodalan saham SMTrack yang diperbesarkan dengan menukar 75 juta nota boleh tukar boleh tebus.

Kim Yew, yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif Country Heights Holdings Bhd, sebelum ini muncul pemegang saham utama SMTrack pada 29 Disember 2021, selepas membeli 28.5 juta saham atau 5.05 peratus kepentingan di pasaran terbuka.

Pada 6 Januari lalu, Choon Hwa juga muncul pemegang saham utama baharu starikat penyelesaian pengenalan frekuensi radio itu, selepas menambah kepentingannya kepada 5.4 peratus daripada 3.16 peratus sebelumnya.

Keesokannya, Hwa Tat, yang juga Pengarah Urusan Sersol Bhd, turut menjadi pemegang saham utama baharu SMTrack selepas membeli 29 juta saham atau 5.14 peratus kepentingan melalui urus niaga pasaran terbuka.

Pada hari sama, Choon Hwa dan Hwa Tat dilantik sebagai pengarah SMTrack.

Perubahan pegangan saham dan pelantikan baharu itu dibuat di tengah-tengah laporan bahawa sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meninjau untuk mendapatkan 10 peratus kepentingan dalam SMTrack.

Mengesahkan laporan itu, SMTrack pada 6 Januari lalu berkata ia sedang dalam rundingan awal bersama sebuah GLC.

"Edisi mingguan The Edge Malaysia melaporkan bahawa sesuatu yang besar akan terjadi iaitu majlis memeterai perjanjian antara between SMTrack, Country Heights, Jiankun International Bhd, Sersol Bhd, AHB Holdings Bhd, Techna-X Bhd, MQ Technology Bhd dan 5G Infratech Malaysia Sdn Bhd dijadualkan hari ini (semalam).

"Namun menurut sumber, majlis pemeteraian itu dijadualkan Isnin depan bagi disesuaikan dengan jadual padat tetamu kehormat," katanya dalam satu kenyataan.

SMTrack, muncul saham paling cergas diniagakan pada Rabu, menyaksikan 110.6 juta saham diniagakan.

Ia ditutup tidak berubah pada 30 sen, menilai kumpulan pada RM191.75 juta.

Saham syarikat itu meningkat daripada 16 sen sejak 29 Disember 2020, apabila Kim Yew muncul sebagai pemegang sahamnya.

SMTrack diniagakan di Pasaran ACE, khusus untuk syarikat-syarikat yang mempunyai prospek pertumbuhan.

Berita Harian X