Selasa, 11 Januari 2022 | 10:53am
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Adif Zulkifli bertukar dokumen perjanjian bersama Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Shell, Ivan Tan - Foto ihsan PETRONAS
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Adif Zulkifli bertukar dokumen perjanjian bersama Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Shell, Ivan Tan - Foto ihsan PETRONAS

PETRONAS, Shell jalin usaha sama nyahkarbon

KUALA LUMPUR: PETRONAS memeterai perjanjian kajian bersama dan usaha sama (JSCA) dengan Sarawak Shell Bhd (Shell) bagi meneroka peluang serta kerjasama projek perangkap dan simpanan karbon (CCS) yang menyediakan penyelesaian simpanan karbon dioksida di Malaysia dan serantau.

Di bawah JSCA itu, PETRONAS dan Shell akan melaksanakan kajian Pelan Pembangunan Kawasan CCS bersepadu bagi menyokong matlamat penyahkarbonan kedua-dua pihak di lokasi luar pesisir terpilih di Sarawak.

Skop perjanjian itu termasuk meneroka pelaksanaan perkhidmatan penyahkarbonan kepada kemudahan tempatan dan rentas sempadan Shell, selain kepada pelanggan serantau berpotensi yang lain.

Hasil daripada kajian itu akan memberikan pilihan dalam potensi bidang-bidang kerjasama selanjutnya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Adif Zulkifli memeterai perjanjian bagi pihak syarikatnya, manakala Shell diwakili oleh Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan.

Mengulas kerjasama antara kedua-dua pihak, Adif berkata PETRONAS mempunyai kerjasama yang panjang dengan Shell.

"Kami yakin bahawa kerjasama terbaharu ini akan mencetuskan lebih banyak inovasi ke arah pengurusan pelepasan karbon dan mempergiatkan matlamat bersama untuk menghasilkan penyelesaian tenaga yang lebih bertanggungjawab serta lestari.

"Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan PETRONAS untuk meneroka peluang kerjasama dalam CCS. Kami akan meneruskan usaha ini untuk membuka peluang yang berpotensi membantu mengurangkan pelepasan serta mencapai aspirasi pelepasaran karbon sifar bersih.

"Ini adalah satu daripada pelbagai usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

November lalu, PETRONAS memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama xxonMobil

Exploration and Production Malaysia Inc untuk meneroka peluang dalam teknologi CCS bagi menyokong penyahkarbonan dalam industri huluang Malaysia, selain menyediakan penyelesaian simpanan karbon dioksida di rantau ini.

Bulan lalu, satu MoU dimeterai bersama POSCO International Corporation dan POSCO Engineering & Construction Co Ltd untuk menilai peluang membuka nilai potensi CCS selain mengenalpasti teknologi bersesuaian dalam skop perangkap karbon, pengangkutan karbon dioksida serta simpanannya.

PETRONAS sedang mengambil langkah diperlukan untuk membina porfolio yang berdaya tahan dan lestari bagi menyokong peralihan ke arah sumber tenaga karbon lebih rendah.

Syarikat minyak dan gas negara itu juga melaksanakan lebih banyak penyalaan hidrokargon sifar bagi mengurangkan pelepasan, sejajar dengan aspirasinya untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Berita Harian X