X
Selasa, 11 Januari 2022 | 10:19am
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Saham Serba Dinamik terus digantung

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd mengumumkan bahawa penggantungan dagangan saham akan diteruskan sehingga notis selanjutnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, ia berkata penggantungan itu disebabkan syarikat itu tidak mematuhi arahan Bursa Malaysia untuk membuat pengumuman mengenai penemuan fakta terkini daripada Kajian Semula Khas Bebas (SIR).

"Dimaklumkan bahawa syarikat ini mengeluarkan laporan tahunan tertunggaknya yang merangkumi penyata kewangan tahunan yang diaudit bersama-sama dengan laporan juruaudit dan lembaga pengarah bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 pada 6 Januari 2022," katanya.

Pada 22 Oktober 2021, Bursa Malaysia mengeluarkan arahan kepada Serba Dinamik berkaitan dengan kemas kini status pada SIR syarikat itu.

Menurut Bursa Malaysia, arahan yang dikeluarkan adalah untuk Serba Dinamik untuk membuat pengumuman mengenai penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta selewat-lewatnya pada 26 Oktober 2021, dan mengumumkannya dengan serta merta.

"Bursa Malaysia menyatakan bahawa penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta pada 30 September 2021 mengenai SIR sudah dimaklumkan kepada tiga daripada empat pengarah bebas bukan eksekutif pada 21 Oktober 2021.

"Sehubungan itu, Bursa Malaysia mengambil maklum bahawa sehingga kini, Serba Dinamik belum mengumumkan penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta menurut Perenggan 9.03 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR)," katanya.

Pada 25 November 2021, Serba Dinamik memberitahu Bursa Malaysia memandangkan perubahan juruaudit luar dan kesan sekatan pergerakan di Malaysia dan luar negara akibat pandemik COVID-19, audit penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir Jun 30 (AFS 2021) terjejas.

Ia berkata bahawa AFS 2021 tidak dapat dimuktamadkan dalam masa untuk dimasukkan ke dalam Laporan Tahunan bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2021 untuk terbitan pada 30 November melalui suratnya bertarikh 25 Oktober (permohonan lanjutan masa).

Bursa Malaysia menolak permohonan syarikat itu dan rayuan seterusnya untuk menangguhkan penyerahan laporan tahunan Tahun Kewangan 2021 daripada tarikh akhir awal yang ditetapkan pada 30 November 2021.

Permodalan pasaran syarikat itu ketika ini berjumlah RM1.3 bilion dengan sahamnya terakhir didagangkan pada 35 sen.

-BERNAMA

Berita Harian X