Isnin, 3 Januari 2022 | 9:02pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Serba Dinamik terbit laporan tahunan Khamis ini

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd akan menerbitkan laporan tahunan 2021 menjelang 6 Januari kerana ia memerlukan lebih banyak masa untuk mengemas kini 'penyata atau laporan dalam laporan tahunan dan membuat pengaturan untuk percetakan'.

Syarikat itu terlepas tarikh akhir untuk mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

"Syarikat akan mengeluarkan laporan tahunan secepat mungkin pada tarikh terbitan yang dijangkakan di atas," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini dan merujuk kepada pengumuman yang dibuat pada 25 November serta 10 Disember lalu berhubung penerbitan laporan tahunan itu.

Pada 25 November lalu, Serba Dinamik memberitahu bursa susulan perubahan juruaudit luar dan kesan sekatan pergerakan di Malaysia serta luar negara akibat pandemik COVID-19, audit penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun (AFS 2021) terjejas.

Katanya, AFS 2021 tidak dapat dimuktamadkan dalam masa yang ditetapkan untuk dirangkumkan dalam laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 bagi diterbitkan pada 30 November melalui suratnya bertarikh 25 Oktober (permohonan lanjutan masa pertama).

Bursa Malaysia menolak permohonan syarikat dan rayuan untuk menangguhkan penyerahan laporan tahun kewangan 2021 daripada tarikh akhir awal yang sepatutnya iaitu 30 November 2021.

Dalam satu makluman berasingan kepada bursa hari ini, Serba Dinamik mengumumkan peletakan jawatan setiausaha syarikatnya, Nadiah Ili Adnan dan pelantikan Tan Tong Lang sebagai setiausaha baharu.

Serba Dinamik juga mengumumkan Aldpro Corporate Services Sdn Bhd sebagai pendaftar baharunya, menggantikan Tricor Investor dan Issuing House Services Sdn Bhd.

Permodalan pasaran syarikat itu kini berjumlah RM1.3 bilion, dengan sahamnya didagangkan pada 35 sen.

-BERNAMA

Berita Harian X