Isnin, 3 Januari 2022 | 2:56pm
Senheng New Retail Bhd (Senheng)
Senheng New Retail Bhd (Senheng)

Senheng catat untung RM34.1 juta

KUALA LUMPUR: Senheng New Retail Bhd (Senheng) meraih keuntungan bersih RM34.1 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, melonjak 21.2 peratus berbanding RM28.1 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Peruncit elektrik dan elektronik (E&E) pengguna dalam satu kenyataan berkata, prestasi lebih baik pada tempoh dikaji disokong penambahan cawangan dan jualan lebih tinggi daripada cawangan runcit yang berterusan.

"Walaupun sekitar 58.2 peratus dan 21.9 peratus cawangan ditutup pada Julai dan Ogos lalu akibat sekatan COVID-19, pendapatan kumpulan melonjak 12.3 peratus kepada RM987.7 juta pada sembilan bulan 2021 dari RM879.6 juta tempoh sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan jumlah cawangan serta jualan bulanan purata Grand Senheng," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan 2021, Senheng membuka satu cawangan dan menaik taraf empat cawangan sedia ada kepada premis lebih besar selain memperkemaskan cawangan Grand Senheng dengan meluaskan pilihan produk serta memperkayakan pengalaman pengguna.

"Lonjakan pendapatan juga dipacu oleh pelaksanaan langkah tele-pemasaran automatik bagi membolehkan jualan dijana secara berterusan oleh pekerja meskipun ketika penutupan cawangan fizikal ketika sekatan pergerakan.

"Selain itu, langkah pemasaran digital bersasar telah berjaya meningkatkan jumlah pengunjung ke cawangan dalam talian kami," tambahnya.

Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng, berkata pertumbuhan dua angka meskipun dalam tempoh penutupan sementara cawangan fizikal membuktikan keberkesanan Senheng menerusi model peruncitan baharu.

Katanya, model perniagaan itu turut melengkapi aplikasi mudah alih dan e-dagang, sekali gus membolehkan Sengheng menyasarkan untuk menjadi jenama utama pelanggan.

"Kami bercadang melaksanakan strategi serampang dua mata untuk memperkayakan pengalaman pelanggan di premis selain memanfaatkan kaedah pemasaran digital. Justeru, kami akan membuka dan menaik taraf rangkaian cawangan runcit menjadi format lebih besar dan menarik.

"Pada masa sama, kami menyasarkan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi program kesetiaan PlusOne. Selain itu, aplikasi Senheng yang dilancarkan pada November 2021 direka untuk menawarkan perkhidmatan dan keselesaan ahli PlusOne.

"Dengan pembukaan sistematik sektor ekonomi, kami optimis dengan prospek perniagaan masa depan," katanya.

Bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2021, Senheng meraih pendapatan berjumlah RM313.8 juta, rendah sedikit berbanding RM322.1 juta yang dicatatkan pada suku sama 2020 susulan penutupan cawangan fizikal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Berita Harian X