Rabu, 29 Disember 2021 | 4:08pm
Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah
Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah

CEO, pegawai kewangan Serba Dinamik kena dakwa

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana memberikan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia.

Abdul Karim, di atas kapasitinya sebagai pengarah kumpulan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Tuduhan itu membabitkan kenyataan palsu yang terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat bagi suku kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Sebagai pengarah kumpulan, beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 367(1) CMSA yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 369 akta sama.

Di hadapan hakim, Datin Sabariah Othman hari ini, Abdul Karim mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Sabariah menetapkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin, selain mengarahkan Abdul Karim melapor kepada pegawai penyiasat SC mengikut jadual yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu.

Abdul Karim tidak diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, namun tertuduh diingatkan supaya menghadiri perbicaraan pada masa akan datang.

Jika didapati bersalah, Abdul Karim boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta.

Abdul Karim sepatutnya didakwa pada Selasa, namun tidak dapat dikesan, yang menyebabkan SC memperoleh waran tangkap terhadapnya.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, Naib Presiden Akaun dan Kewangan Serba Dinamik, Muhammad Hafiz Othman didakwa oleh SC atas dakwaan melanggar CMSA yang boleh dihukum di bawah Seksyen 368(2) akta sama.

SC pada Selasa mendakwa penyedia perkhidmatan kejuruteraan Serba Dinamik, pengarah dan pegawainya dengan mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia.

Pengawal selia pasaran modal itu semalam mengenakan pertuduhan terhadap Serba Dinamik, pengarah dan pegawainya kerana pengemukaan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia, satu kesalahan di bawah seksyen 369(a)(B) CMSA.

Mengikut pertuduhan SC yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kenyataan palsu itu adalah berhubung angka pendapatan sebanyak RM6.104 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

SC berkata, individu yang dikenakan pertuduhan ialah Pengarah Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi serta Muhammad Hafiz.

Ketiga-tiga tertuduh memohon agar dibicarakan terhadap pertuduhan yang difailkan terhadap mereka.

Sabariah menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga negara Malaysia dan memerintahkan agar pasport semua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Berita Harian X