Rabu, 29 Disember 2021 | 1:03pm
AirAsia Group Bhd - Foto hiasan
AirAsia Group Bhd - Foto hiasan

AirAsia muktamad dana RM974.5 juta Jumaat ini

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd akan menyelesaikan terbitan hak boleh lepas kepada pemegang saham sedia ada selepas penyenaraian Sekuriti Hutang Islam Tidak Bercagar Boleh Tebus Boleh Tukar (RCUIDS) dan waran pada Jumaat ini.

Syarikat itu akan dapat mengumpul RM974.5 juta sebagai suntikan kuat untuk menyokong strategi pengumpulan dana AirAsia Group secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata terbitan hak yang diumumkan hari ini adalah komponen penting dalam keseluruhan strategi pengumpulan dana pihaknya, yang menyokong operasi semula perjalanan udara merentasi ASEAN pada 2022.

"Kami sudah meneruskan penerbangan di semua pasaran utama secara beransur-ansur dan berharap untuk kembali kepada tahap pra-COVID bagi laluan popular pada tahun baharu ini. Di samping peningkatan kadar vaksinasi, prosedur ujian dan pendidikan yang lebih baik di semua pasaran.

"Ia juga menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan dalam strategi pemulihan keseluruhan kami termasuk transformasi digital yang menerima sokongan menggalakkan melalui pelbagai inisiatif pengumpulan dana," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu turut memperoleh kelulusan daripada Danajamin Nasional Bhd untuk pinjaman terjamin 80 peratus sehingga RM500 juta, menunjukkan sokongan padu untuk strategi transformasinya menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dalam era digital.

Tony berkata, pihaknya kini berjaya mencapai pengumpulan dana sehingga lebih RM2.5 bilion, menyediakan mudah tunai yang kukuh untuk meningkatkan operasi sehingga tahun depan, dengan operasi syarikat dijangka lebih mampan dan terus memacu nilai pemegang saham.

"Memandangkan transformasi digital terus mendapat momentum yang kukuh, kami berharap untuk mengumpul dana baharu bagi airasia Super App yang berkembang pesat, cabang logistik Teleport dan cabang kejuruteraan serantau kami, Asia Digital Engineering (ADE) dalam masa terdekat," katanya.

Terbitan hak itu termasuk RCUIDS selama tujuh tahun dengan nilai nominal 75 sen setiap satu, ditambah waran boleh cerai percuma, berdasarkan dua RCUIDS dengan satu waran bagi setiap enam pegangan saham AirAsia.

Sebagai komponen utama inisiatif pengumpulan dana AirAsia, terbitan hak ini akan membolehkannya menyokong pelbagai segmen di bawah syarikat, termasuk tetapi tidak terhad kepada modal kerja dan kos operasi lain yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 selain kos yang diperlukan untuk meningkatkan operasi susulan pemulihan perjalanan antarabangsa, di samping pembiayaan untuk pelbagai unit perniagaan digital AirAsia.

Berita Harian X