Rabu, 29 Disember 2021 | 11:04am
Senheng New Retail Bhd
Senheng New Retail Bhd

IPO Senheng jana modal RM267.5 juta

KUALA LUMPUR: Peruncit elektrik dan elektronik (E&E) pengguna, Senheng New Retail Bhd bercadang untuk menjana modal sehingga RM267.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadual pada 25 Januari 2022.

Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng, berkata pihaknya bercadang melaksanakan IPO untuk membiayai fasa transformasi syarikat yang seterusnya dan membentuk landskap runcit baharu negara.

Beliau berkata, daripada sasaran dana yang dijana itu, Senheng bercadang menggunakan RM160.5 juta untuk membuka cawangan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai berkonsep yang lebih besar dan dipertingkatkan.

"Kumpulan menyasar untuk menaik taraf atau membuka 61 kedai baharu dan sedia ada dari 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan.

"Sebanyak 19.3 peratus atau RM51.7 juta lagi akan digunakan untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan bahagian sokongan kumpulan. Ini termasuk membangunkan perniagaan pengedaran jenama baharu, mengembang dan menaik taraf gudang dan rangkaian logistik, serta meningkatkan infrastruktur digital kumpulan.

"Baki 20.7 peratus atau RM55.3 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian," katanya pada majlis pelancaran IPO kumpulan itu secara maya hari ini.

Pelaksanaan IPO Senheng membabitkan terbitan awam 250 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 139.5 juta saham sedia ada pada harga terbitan RM1.07 sesaham, menjadikan permodalan pasarannya bernilai RM1.6 bilion selepas penyenaraiannya itu.

Mengulas lanjut, Kim Heng berkata, dalam era pendigitalan yang pesat berkembang kini, Senheng berada di barisan hadapan membentuk landskap runcit baharu untuk memenuhi trend pengguna terkini.

"Hari ini, pelanggan kami semakin banyak membeli daripada platform dalam talian kerana kemudahan tambahan yang ada, manakala kedai runcit fizikal Senheng berfungsi sebagai pusat pengalaman untuk pelanggan mendekati jenama dan produk kegemaran mereka.

"Senheng menyasar untuk menjadi juara wilayah dalam setiap radius lima kilometer dari kedai kami, dengan ruang lantai terbesar dan pelbagai produk."

"Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam kedai dan meningkatkan keupayaan operasi untuk terus memberikan pengalaman runcit terbaik yang lancar kepada semua pelanggan," katanya.

Ditanya sama ada kumpulan mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara, beliau berkata Senheng tiada perancangan sedemikian buat masa ini.

"Kami mahu menumpukan di dalam Malaysia saja kerana berpandangan pasaran domestik masih mempunyai potensi untuk berkembang dan diteroka," katanya.

Berita Harian X