Selasa, 28 Disember 2021 | 7:00pm
Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah
Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

SC keluar waran tangkap ke atas CEO Serba Dinamik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperoleh waran tangkap terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)/Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik), Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, yang kini masih bebas.

Pengawal selia pasaran modal itu hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Serba Dinamik, pengarah dan pegawainya kerana

pengemukaan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia, satu kesalahan di bawah seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Mengikut pertuduhan SC yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kenyataan palsu itu adalah berhubung angka pendapatan sebanyak RM6.104 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

Dalam satu kenyataan, SC berkata, individu yang dikenakan pertuduhan ialah Pengarah Eksekutif syarikat Datuk Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, dan Timbalan Presiden Akaun & Kewangan Muhammad Hafiz Othman.

Ketiga-tiga pihak tertuduh memohon agar dibicarakan terhadap pertuduhan yang difailkan terhadap mereka. Hakim Mahkamah Sesyen Sabariah Othman menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga negara Malaysia, dan memerintahkan agar pasport semua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Di samping itu, ketiga-tiga tertuduh perlu melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Abu Bakar Uzir yang hadir bagi pihak Serba Dinamik bagi menjawab pertuduhan terhadap syarikat itu juga memohon agar dibicarakan.

Di bawah seksyen 369(a)(B) CMSA, individu yang didapati membuat kenyataan palsu atau mengelirukan kepada SC, Bursa atau rumah penjelasan yang diluluskan, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak

kurang daripada RM3 juta, atau kedua-duanya.

Siasatan SC terhadap Serba Dinamik bermula pada Mei 2021 berikutan laporan seksyen 320 CMSA oleh KPMG kepada SC.

Di bawah CMSA, juruaudit mempunyai kewajipan berkanun untuk segera melaporkan kepada SC jika, secara munasabah, mereka percaya bahawa terdapat perkara yang mungkin adalah pelanggaran atau ketaklaksanaan mana-mana keperluan undang-undang sekuriti, peraturan bursa saham atau apa-apa perkara yang boleh menjejaskan secara ketara kedudukan kewangan syarikat tersenarai.

Berita Harian X