Selasa, 28 Disember 2021 | 1:04pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

SC dakwa Serba Dinamik, pengurusan tertinggi

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd dan pengurusan eksekutif tertingginya hari ini didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Mereka yang didakwa ialah Pengarah Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Azhan Azmi dan Naib Presiden Perakaunan dan Kewangannya, Muhammad Hafiz Othman.

Semua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih daripada RM3 juta.

Syarikat itu bersama Syed Nazim, 41; Azhan, 39; dan Muhammad Hafiz, 37, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dikenakan.

Serba Dinamik selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Abu Bakar Uzair, manakala Syed Nazim, Azhan serta Muhammad Hafiz selaku tertuduh, didakwa dengan niat untuk menipu, mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung di dalam 'Serba Dinamik Holdings Berhad's Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020'.

Kesalahan itu dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur, pada 26 Februari lalu.

Serba Dinamik mengaku tidak bersalah dalam prosiding di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Datin Sabariah Othman Hakim memerintahkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing dijamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mereka juga diperintah melapor diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin dan Zulaida Zulkifli manakala Serba Dinamik dan semua tertuduh diwakili peguam bela, L K Mak.

Kedua-dua mahkamah menetapkan pada 27 Januari depan bagi pengurusan kes.

SC sebelum ini membuka kertas siasatan mengenai perakaunan kewangan Serba Dinamik berikutan terdapat perbezaan pendapat di antara syarikat itu dan juruauditnya, KPMG Malaysia.

Pada 3 November lalu, Serba Dinamik memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada.

Dalam satu pemberitahuan kepada Bursa Malaysia, ia mendakwa pengendali bursa tempatan itu telah bertindak di luar bidang kuasa apabila menggantung dagangan saham syarikat itu.

Serba Dinamik ditubuhkan pada 1993, dengan mempunyai anak syarikat yang mengedalikan tenaga minyak dan gas pada peringkat antarabangsa.

Operasi mereka termasuklah di Indonesia, Bahrain, United Arab Emirates (UAE), Singapura, India dan United Kingdom (UK).

Syarikat itu juga terbabit dalam industri petrokimia, penjanaan tenaga dan utiliti air.

Harga saham Serba Dinamik kali terakhir diniagakan pada 35 sen sebelum digantung sejak 22 Oktober lalu, dengan permodalan pasaran mencecah RM1.3 bilion.

Berita Harian X