Selasa, 21 Disember 2021 | 12:42pm
Datuk Ameer Ali Mydin. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Datuk Ameer Ali Mydin. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

Banjir: Mydin tanggung kerugian lebih RM5 juta

KUALA LUMPUR: Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN), yang mengendalikan lebih 66 cawangan pasar raya di seluruh negara, menanggung kerugian semasa yang dianggarkan mencecah lebih RM5 juta akibat bencana banjir yang melanda wilayah tengah Semenanjung baru-baru ini.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata kerugian dijangka akan lebih tinggi susulan kerja pemulihan cawangannya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Bencana banjir yang melanda negara terutamanya di Selangor baru-baru ini adalah fenomena alam yang tidak dapat kita elakkan.

"Kerugian yang berlaku disebabkan banjir adalah sudah pasti, tetapi kerugian ke hadapan itu kita tidak dapat nilaikan lagi.

"Cawangan MYDIN yang dinaiki air perlu dilaksanakan proses pemulihan dan sudah pasti akan terdapat kos di situ. Ibarat kita perlu membuka semula kedai yang baru.

"Ia akan mengambil masa dalam tempoh tiga bulan dan sepanjang tempoh itu kos operasi masih berjalan seperti bayaran gaji pekerja, utiliti dan sewaan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Ameer berkata, kesukaran lain yang dihadapi oleh MYDIN ketika ini juga adalah gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan kekurangan stok barangan keperluan harian.

Beliau berkata, ini kerana Selangor adalah kawasan tumpuan kepada sektor perkilangan, dan apabila banjir ini melanda banyak kilang turut terjejas sehingga mengganggu pengeluarannya.

Katanya, pemulihan kilang pengeluaran produk keperluan harian juga akan mengambil masa termasuk kekangan logistik dan tenaga kerja.

Penduduk tempatan mengambil barangan yang terdapat di Mydin Mart selepas ia dipecahkan ketika Taman Sri Muda masih lagi banjir. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN
Penduduk tempatan mengambil barangan yang terdapat di Mydin Mart selepas ia dipecahkan ketika Taman Sri Muda masih lagi banjir. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN

"Semua berkait antara satu sama lain. Gangguan bekalan ini bukan saja di Selangor tetapi operasi MYDIN di seluruh negara.

"Namun jangkakan ia hanya bersifat gangguan jangka masa pendek. Ia akan kembali pulih tidak lama lagi," katanya.

Mengenai insiden pecah masuk cawangan MYDIN Mart, Sri Muda, Shah Alam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, Ameer berkata, pada dasarnya tindakan itu adalah satu kesalahan dan tidak patut berlaku.

Namun begitu, katanya, dalam situasi darurat, kemungkinan mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melakukan perkara itu demi kelangsungan hidup.

"Saya tidak menyokong tindakan itu tetapi ia sudah berlaku dan saya menghalalkan segala barangan yang diambil jika niat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dan terdesak akibat bantuan yang lewat tiba," katanya.

Berita berkaitan:

  • MYDIN Mart dipecah masuk ketika banjir, Ameer halalkan barangan diambil
  • Berita Harian X