Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:57pm
Pembukaan rasmi pasar rayaMercato yang keenam di Sunway Putra Mall -NSTP/Amirudin Sahib
Pembukaan rasmi pasar rayaMercato yang keenam di Sunway Putra Mall -NSTP/Amirudin Sahib

Mercato buka pasar raya keenam di Malaysia

KUALA LUMPUR: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) pengendali pasar raya premium Mercato mengukuhkan kedudukan di pasaran Malaysia dengan menambah cawangan keenam di Sunway Putra Mall.

Pengarah Operasi, Malaysia dan Singapura, Mark Scates berkata, bagi pembukaan kali ini, pihaknya menampilkan lebih 2,000 produk baharu terdiri daripada tempatan dan luar negara.

"Selain itu, bagi memberikan kesegaran produk organik terbaik, kami turut memperkenalkan tanaman herba segar sedia dibawa pulang oleh pelanggan.

"Bahkan, bagi menyediakan produk yang sentiasa segar kepada pelanggan, kami turut menjalankan penghantaran produk setiap hari pada jam tujuh pagi.

"Istimewa buat pelanggan, kami turut menyediakan segmen khas dengan penambahan ratusan jenis sayuran organik dan 200 barangan runcit organik bagi memudahkan mereka," katanya pada majlis pembukaan cawangan terbaru Mercato.

Menurutnya, pembukaan cawangan baharu Mercato Sunway Putra Mall menelan belanja mencecah RM1 juta dengan proses pembukaan mengambil masa sehingga 16 minggu.

Cawangan berkenaan yang berkeluasan sehingga 18,000 kaki persegi bersedia memberi keselesaan kepada pelanggan untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka.

Katanya, cawangan Mercato Sunway Putra Mallmempunyai jarak antara rak produk lebih luas bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan, khususnya ketika musim pandemik COVID-19. "Kami turut membawakan dekorasi serta susunan rak lebih menarik dan lebih luas bagi memberikan pengalaman pembelian 'gourmet' yang unik kepada pelanggan.

"Kami sentiasa mendengar permintaan pelanggan bagi mengutamakan kualiti, nilai, perkhidmatan serta keselesaan kepada pelanggan," katanya.

Bagi memacu lebih nilai untuk pelanggan, pihaknya turut melancarkan jenama sendiri, Meadows tahun lalu.

Ia jenama eksklusif yang menawarkan makanan berkualiti tinggi dan produk isi rumah ditawarkan pada harga jauh lebih berpatutan daripada jenama setara, tersedia secara eksklusif di rangkaian runcit GCH Retail.

Sempena pembukaan Mercato Sunway Putra Mall, pelanggan boleh menikmati promosi eksklusif di mana 1,000 pelanggan pertama bakal membawa pulang beg kitar semula eksklusif daripada Mercato dengan pembelian minimum RM100 dalam satu resit.

Bagi mendapatkan lebih banyak promosi terkini dan menarik, layari Facebook Mercato Malaysia.

Berita Harian X