Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:18pm
Al Rajhi Bank Malaysia
Al Rajhi Bank Malaysia

Al Rajhi Bank Malaysia pacu inovasi pendigitalan

KUALA LUMPUR: Al Rajhi Bank Malaysia menyasar untuk menjadi bank inovasi kewangan Islam terkemuka di Malaysia menjelang 2022 dengan memacu inovasi pendigitalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arsalaan Ahmed, berkata bank itu yang sedang melaksanakan transformasi akan memacu inovasi digital untuk memberikan akses mudah dan menyenangkan pelanggan.

Beliau berkata, dalam perjalanan transformasi ke arah inovasi pendigitalan, anak syarikat milik penuh bank Islam terbesar dunia, Al Rajhi Bank yang berpangkalan di Arab Saudi itu melabur dalam bakat dengan memantapkan barisan kepimpinan kanan untuk mengembangkan lagi perniagaannya di negara ini.

Katanya, bank itu turut melabur dalam teknologi menerusi jalinan kerjasama strategik dengan peneraju industri untuk membolehkannya menampilkan produk terbaik dalam kelas yang memberikan akses lebih meluas, mudah dan senang kepada pelanggannya.

"Kami akan melancarkan bank digital tahun depan. Kami bercadang memberi tumpuan dalam runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya pada taklimat media mengenai pelan pendigitalan bank itu secara maya, hari ini.

Arsalaan berkata persaingan antara bank digital baharu dengan bank sedia ada dijangka rancak dan menarik dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Beliau berkata, bank digital baharu yang berupaya menampilkan produk menarik dan memberi keyakinan tinggi kepada pelanggan akan mencetuskan persaingan sengit selain ancaman kepada bank sedia ada.

"Jika (bank digital baharu) gagal berbuat demikian (menampilkan produk yang menarik), mereka tidak akan menjadi ancaman kepada peserta bank sedia ada.

"Sebaliknya, bank sedia ada perlu bersedia dengan persaingan dalaman dalam saluran digital. Bagi saya, ancaman sebenar kepada bank sedia ada adalah tidak membenarkan persaingan dalaman menerusi saluran digital," katanya.

Mengenai prospek industri perbankan di Malaysia tahun depan, Arsalaan menjangkakan tinjauan yang positif, sekali gus menyokong lebih banyak sektor sejajar dengan pembukaan semula ekonomi.

Berita Harian X