Khamis, 16 Disember 2021 | 2:57pm

Samaiden dapat kontrak solar PV

KUALA LUMPUR: Samaiden Group Bhd memperoleh kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) berkaitan pembangunan sistem solar fotovolta (PV) atas bumbung berkekuatan 39 megawatts bernilai RM98.15 juta.

Syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB), menerima surat tawaran daripada Ramatex Textiles Industrial Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja itu di enam tapak yang dikenal pasti di Batu Pahat, Johor.

Projek terbabit, yang merangkumi reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan, dijangka siap pada suku ketiga 2022, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

"Sekiranya tiada sebarang halangan, tawaran itu diunjur dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Samaiden dan anak syarikatnya sepanjang tempoh projek," katanya.

Disenaraikan di Pasaran ACE pada Oktober tahun lalu, Samaiden adalah penyedia perkhidmatan EPCC untuk sistem solar fotovolta dan loji jana kuasa.

Ia juga menyediakan tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan perundingan alam sekitar.

Berita Harian X