Rabu, 15 Disember 2021 | 4:01pm

Bina Puri, Sabah Electricity meterai perjanjian tenaga

KUALA LUMPUR: Bina Puri Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, BP Energy Sdn Bhd (BP Energy) telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memulakan projek tenaga pertamanya di Malaysia.

Projek tenaga itu membabitkan pembangunan Ladang Solar Fotovoltaik (PV) Berskala Besar dengan kapasiti 5.00 MWa.c di Kunak, Sabah, yang mana ia dijadualkan memulakan operasi komersil pada 30 Jun 2023.

BP Energy akan merekabentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga solar PV dengan kapasiti lima megawatt di Kg Dasar, Kunak, Sabah untuk sambungan ke Rangkaian Pengagihan voltan sederhana SESB di PMU Kunak.

Tempoh kontrak PPA adalah selama 21 tahun daripada tarikh operasi komersial.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee Kai Woon, berkata selepas empat tahun menerima Surat Penerimaan Tawaran bagi projek berkenaan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), pihaknya amat berbesar hati kerana akhirnya telah menandatangani PPA itu.

Beliau berkata, daripada 10 syarikat yang dianugerahkan di bawah LSS2 di Sabah, Bina Puri adalah syarikat pertama yang menandatangani PPA dengan SESB.

Katanya, pemeteraian PPA itu adalah satu peristiwa penting bagi kumpulan kerana ia adalah projek tenaga pertama Bina Puri di Malaysia, berikutan kejayaan penyenaraian anak syarikat tenaga pada Jun 2017 di Bursa Saham Indonesia.

"Kami berharap dapat menyumbang kepada negara dengan penggunaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan masa depan yang lebih mampan dan hijau," katanya dalam satu kenyataan.

"Dengan pengumuman ini, kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak projek tenaga di Malaysia terutamanya di Sabah kerana kami juga mempunyai kedudukan yang kukuh dalam sektor lain di sini seperti pembinaan dan pembangunan hartanah," katanya.

Pada 5 Jun 2017, anak syarikat tenaga Bina Puri, PT Megapower Makmur (MPOW), syarikat jana kuasa elektrik bebas telah disenaraikan di Bursa Indonesia (IDX).

MPOW mengendalikan empat loji jana kuasa diesel dengan kapasiti 14.0 megawatt di empat lokasi di seluruh Indonesia dan satu loji mini hidro 4.2 megawatt di Sulawesi Selatan, Indonesia.

Bina Puri adalah syarikat bukan kerajaan pertama yang berjaya disenaraikan di Bursa Saham Indonesia (IDX).

Bina Puri juga turut menyokong inisiatif tenaga hijau dengan memasang panel solar di sepanjang Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) untuk mengurangkan kos tenaga di bawah perjanjian bersama Tenaga Nasional Bhd.

Panel solar telah dipasang di atas bumbung plaza tol serta di kawasan tanah yang ditetapkan dengan kapasiti gabungan sebanyak 413.60kWp.

Berita Harian X