Selasa, 14 Disember 2021 | 3:23pm
Gambar fail. - Kilang Komarkcorp.
Gambar fail. - Kilang Komarkcorp.

Pengeluaran pelitup muka sokong pemulihan Komarkcorp

SERI KEMBANGAN: Komarkcorp Bhd optimis dengan potensi perniagaan dalam tempoh pendek disokong operasi perniagaan pelitup mukanya sekali gus menyokong pemulihan pendapatannya.

Pengarah Eksekutifnya, Roy Ho, berkata perniagaan pelitup muka ketika ini merangkumi separuh daripada pendapatan syarikat selain perniagaan pelabelan.

"Kami yakin pendapatan syarikat akan terus meningkat setiap suku tahun bagi tempoh tahun hadapan dipacu segmen perniagaan pelitup muka yang menyokong pemulihan syarikat selepas mencatat siri kerugian sebelum ini.

"Kami melihat perniagaan pelitup muka terus mendokong perniagaan. Ia terbukti apabila sumbangannya melepasi jangkaan kami dalam aspek pemulihan pendapatan yang telah dicapai seawal suku tahun berakhir Oktober, berbanding sasaran kami pada April.

"Kami menyasarkan sumbangan perniagaan pelitup muka akan mengatasi pelabelan dengan nisbah 70:30 berbanding 50:50 ketika ini dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang," katanya pada taklimat media di kilang Komarkcorp di Balakong, hari ini.

Yang turut serta, Pengerusi Komarkcorp, Tengku Ezuan Ismara Tengku Nun Ahmad.

Ho berkata, perniagaan pelitup muka turut menyediakan aliran pendapatan merangkumi pencetakan dan pembungkusan.

"Perniagaan pelitup muka membantu syarikat meraih keuntungan pertama pada suku tahun berakhir Oktober meskipun bahagian pengeluaran tidak beroperasi pada kapasiti penuh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami melihat perniagaan pelitup muka memiliki potensi besar untuk tempoh tiga tahun akan datang walaupun pandemik mungkin menuju ke penamat, tetapi norma baharu kini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita," katanya.

Beliau menegaskan, sebagai pengeluar produk asal (OEM) pelitup muka dengan sebahagian besar untuk pasaran tempatan Komarkcorp akan meninjau pasaran eksport lebih baik terutama di Thailand dan Singapura.

"Kilang baharu kami di Meru, Klang yang dijangka bersedia untuk memulakan operasi akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami kepada 70 barisan pengeluaran daripada 30 ketika ini.

"Kilang pengeluaran di Meru dicadangkan untuk pasaran eksport ke Indonesia, Thailand dan Vietnam. Jadi kilang ini membolehkan kami menjimatkan kos pengangkutan kerana berhampiran dengan pelabuhan, manakala kilang di Balakong akan memberi tumpuan kepada pasaran domestik.

"Dengan 70 barisan pengeluaran yang dimiliki, Komarkcorp mampu menghasilkan sekitar 30 juta keping pelitup sebulan," katanya.

Komarkcorp kembali mencatat untung pertamanya sejak tahun kewangan (TK) 2017 pada suku kedua TK22 berakhir 31 Oktober 2021 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) kecil RM110,000, berbanding kerugian selepas cukai (LAT) RM2.53 juta pada suku kedua TK21.

Prestasi kewangan yang kembali pulih dicatatkan diraih menerusi pendapatan RM18.16 juta pada suku kedua TK22, yang melonjak 119.91 peratus berbanding RM8.26 juta yang dicatatkan suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Pemulihan prestasi kewangan disumbangkan terutama oleh pendapatan lebih tinggi yang dijana menerusi bahagian pelabelan dan pembungkusan serta pelitup muka.

Ho berkata, Komarkcorp juga sedang membida beberapa kontrak pembekalan pelitup muka kepada kerajaan dengan fokus tender agensi kerajaan diberi tumpuan pada tahun hadapan.

"Buat masa ini kami tidak memperoleh sebarang kontrak dari kerajaan tetapi pasukan saya akan bekerja keras tahun hadapan untuk ini. Pada masa ini semua pelanggan kami adalah syarikat swasta," katanya.

Berita Harian X