Rabu, 8 Disember 2021 | 5:58pm
Gamuda Bhd
Gamuda Bhd

Gamuda sasar kontrak baharu RM10 bilion

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd menyasar untuk memperoleh nilai tempahan kontrak baharu bernilai RM10 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 disokong projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) dan selebihnya projek di Australia.

Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Justin Chin Jing Ho, berkata Gamuda turut mengharapkan kerajaan akan memuktamadkan pembangunan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang dalam masa terdekat bagi meneruskan impak positif daripada pelaksanaan projek MRT2 yang akan siap tidak lama lagi.

"Semua projek sedang kami bangunkan di Malaysia mengikut jadual yang ditetapkan. Begitu juga dengan empat projek yang sedang dimajukan di Taiwan dan Singapura.

"Untuk PSI pula, projek ini ditangguhkan kira-kira enam hingga lapan bulan selepas mahkamah memutuskan untuk membatalkan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Selain itu, Gamuda juga sedang menunggu keputusan tender yang tertangguh di Australia kesan daripada COVID-19. Menuju ke hadapan, kami secara aktif membida beberapa projek di Australia dengan sasaran kontrak sekitar AU$5 bilion (RM15 bilion) hingga AU$6 bilion (RM18 bilion) untuk tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Gamuda hari ini.

Turut serta, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling.

Mengulas lanjut, Jing Ho berkata, Gamuda sedang aktif membida beberapa projek di New South Wales, Victoria dan Selatan Australia yang bakal menyediakan kontrak berskala besar kepada kumpulan memandangkan kerajaan negara berkenaan mengumumkan projek pembangunan infrastruktur melebihi A$110 bilion (RM330 bilion) untuk dimajukan dalam tempoh sedekad akan datang.

"Kami juga sedang menunggu keputusan kerajaan mengenai pemulihan projek MRT3 yang dilihat akan memberi rangsangan kepada industri pembinaan dan kesan pengganda kepada ekonomi negara.

"Gamuda melihat terdapat keperluan mendesak untuk projek MRT3 memandangkan projek MRT2 hampir sampai ke penghujung. Tanpa kesinambungan ribuan pekerjaan tempatan serta rantaian bekalan berdepan risiko," katanya.

Pertengahan bulan lalu, MRT Corp menjelaskan tawaran tender bagi projek MRT3 akan dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022.

Perincian pelan pembiayaan itu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini, sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan termasuk pembukaan tender.

Sementara itu, Jing Ho berkata, Gamuda sedang meneroka pasaran baharu dan optimis, namun berhati-hati menangani cabaran berbeza yang dihadapi, seterusnya mengembangkan keupayaan syarikat di pasaran disasarkan.

Berita Harian X