Rabu, 8 Disember 2021 | 4:25pm
Scientex Bhd
Scientex Bhd

Scientex catat untung lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Scientex Bhd naik 11.2 peratus kepada RM102.87 juta pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2021 daripada RM92.53 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, selepas dipacu oleh keuntungan operasi perniagaan hartanah yang lebih tinggi.

Pendapatan pengilang pembungkusan plastik dan pemaju hartanah itu meningkat 15.7 peratus kepada RM928.17 juta berbanding RM802.26 juta sebelum ini.

Scientex ketika mengulas mengenai perniagaan pembungkusannya berkata, pendapatan menokok kepada RM678.1 juta menjelang suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM583.8 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun kewangan 2021, disumbangkan oleh pasaran domestik dan eksport produk pembungkusan industri dan penggunanya, tetapi keuntungan operasi menyusut kepada RM64.7 juta daripada RM68.6 juta.

"Penyusutan ini disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada perniagaan penukaran kumpulan di bawah segmen pembungkusan pengguna, yang dipengaruhi oleh harga bahan mentah dan lonjakan dalam kos pengangkutan termasuk perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang telah menyebabkan tanggungan kos operasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai perniagaan hartanahnya, Scientex berkata peningkatan hasil kepada RM250.1 juta berbanding RM218.4 juta sebelum ini telah didorong oleh pengebilan kemajuan yang stabil daripada projek pembangunan dan kadar pengambilan yang baik membabitkan pelancaran baharu di Tasek Gelugor (Pulau Pinang) , Pulai (Johor), projek-projek lain yang sedang dijalankan serta penyiapan beberapa fasa projek pembangunan di Scientex Rawang, Selangor dan Scientex Durian Tunggal di Melaka.

Selaras dengan pendapatan yang lebih tinggi yang direkodkan, keuntungan operasi segmen itu menokok kepada RM68.5 juta daripada RM58.2 juta, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Peng Jin, berkata bagi menyampaikan pertumbuhan yang mampan, Scientex telah mengekalkan pengembangan dalam kapasiti dan keupayaan dalam bahagian pembungkusan dan hartanahnya agar ia mampu mengukuhkan kedudukan serta kepimpinan pasarannya.

"Kami meneruskan 'Strategi Pembangunan Merentasi Sempadan' untuk bahagian pembangunan hartanah dengan merancang beberapa pelancaran baharu di lokasi-lokasi utama seperti di Jasin, Seremban, Cheras, Sungai Dua dan Sungai Petani pada tahun kewangan 2022.

"Kami juga mempercepatkan langkah dengan sasaran baharu untuk membina 8,000 rumah setahun menjelang tahun kewangan 2023 daripada 6,000 rumah setahun, ini mencerminkan komitmen kami bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat berdasarkan permintaan yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Syarikat itu akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan rantaian bekalan untuk menyampaikan pertumbuhan yang mampan, selain daripada menguruskan cabaran berterusan seperti harga bahan mentah yang tidak menentu termasuk kos logistik yang meningkat.

-BERNAMA

Berita Harian X