Khamis, 2 Disember 2021 | 5:54pm
Komarkcorp Bhd
Komarkcorp Bhd

Komarkcorp kembali catat untung

KUALA LUMPUR: Komarkcorp Bhd, penyedia penyelesaian pembungkusan dan percetakan yang kini mengeluarkan pelitup muka kembali mencatat untung pertamanya sejak tahun kewangan (TK) 2017 pada suku kedua TK22 berakhir 31 Oktober 2021.

Pada suku dikaji, Komarkcorp meraih keuntungan selepas cukai (PAT) kecil RM110,000, berbanding kerugian selepas cukai (LAT) RM2.53 juta pada suku kedua TK21.

Prestasi kewangan yang kembali pulih dicatatkan diraih menerusi pendapatan RM18.16 juta pada suku kedua TK22, yang melonjak 119.91 peratus berbanding RM8.26 juta yang dicatatkan suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Komarkcorp dalam satu kenyataan berkata, peningkatan prestasi kewangan disumbangkan terutama oleh pendapatan lebih tinggi yang dijana menerusi bahagian pelabelan dan pembungkusan serta pelitup muka.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Oktober 2021, Komarkcorp melaporkan hasil terkumpul berjumlah RM31.57 juta, meningkat 86.37 peratus berbanding RM16.94 juta yang diraih tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Komarkcorp, bahagian pelabelan dan pembungkusan menjadi penyumbang terbesar keseluruhan pendapatan, menyumbang 71.50 peratus atau RM22.57 juta, sementara bahagian pelitup muka pula meraih pendapatan RM8.99 juta atau 28.5 peratus daripada pendapatan bagi tempoh enam bulan TK22.

Dari segi segmentasi geografi, Malaysia menjadi pasaran terbesar kepada sumbangan pendapatan syarikat untuk tempoh enam bulan TK22 iaitu dengan sumbangan 74.53 peratus atau RM23.53 juta, diikuti Thailand dan Singapura masing-masing RM8.25 juta dan RM3.97 juta.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Roy Ho, berkata pencapaian kewangan yang diraih Komarkcorp adalah permulaan yang lebih baik selepas mencatat kerugian dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

"Permintaan ke atas pelitup muka dijangka mengukuh selepas dunia bergelut dengan COVID-19 dengan varian Omicron yang baru ditemui menurut pakar menimbulkan risiko jangkitan lebih tinggi.

"Beberapa negara mengembalikan mandat pemakaian pelitup muka untuk mengekang penyebaran. Justeru, pemakaian pelitup muka gred perubatan adalah keutamaan yang ditekankan oleh kerajaan dan pakar penjagaan kesihatan," katanya.

Ho berkata, penyertaan Komarkcorp dalam pengeluaran pelitup muka adalah untuk mengurangkan sebarang kesan buruk daripada industri perkhidmatan pembungkusan dan pencetakan pengguna.

"Kami menjangkakan prospek industri perkhidmatan pembungkusan dan pencetakan kekal mencabar pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X